AM

Industri Filem Tempatan Raih RM162.89 Juta Setakat 30 Jun

08/07/2025 08:10 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Industri perfileman tempatan mencatat peningkatan ketara apabila merekodkan kutipan pecah panggung berjumlah RM162.89 juta setakat 30 Jun lepas sekali gus mengatasi kutipan sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata jumlah itu diperoleh menerusi tayangan 39 filem cereka, berbanding RM125.28 juta pada 2024 dan RM102.66 juta pada 2023.

Beliau berkata antara penyumbang utama ialah filem animasi Ejen Ali The Movie 2, yang mencatat kutipan RM55.2 juta setakat 30 Jun, menjadikannya filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman animasi Malaysia.

"Filem animasi Ejen Ali The Movie 2 bukan sahaja mencuri perhatian penonton tempatan, malah berjaya menawan pawagam Indonesia apabila meraih 200,000 penonton dalam minggu pertama tayangan, sekali gus membuktikan kandungan kita kini berada pada tahap antarabangsa,” katanya ketika berucap pada sidang media pertama Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Berhubung penganjuran FFM34, Teo berkata lebih 60 filem dijangka bertanding dalam 30 kategori dan permohonan penyertaan dibuka bermula hari ini hingga 18 Julai.

"Sebagai penambahbaikan festival, satu kategori baharu diperkenalkan (iaitu) Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik bagi menghargai dedikasi karyawan dalam genre aksi.

“Penerbitan filem aksi tempatan menunjukkan peningkatan dari segi teknikal dan keselamatan, selain nilai tontonan yang tinggi. Kategori ini diwujudkan sebagai penghormatan terhadap keberanian dan profesionalisme pasukan produksi serta pelakon lagak ngeri yang sering berada di barisan hadapan babak berisiko,” katanya.

Teo berkata FFM34 bukan sekadar acara penganugerahan, sebaliknya platform strategik untuk memperkukuh diplomasi budaya, membuka peluang pelaburan dan memperluas jaringan industri filem negara.

“Saya menyeru seluruh pemain industri termasuk pengarah, penerbit, penulis, tenaga teknikal, persatuan dan rakan strategik agar terus bersama-sama memperkukuh ekosistem filem negara.

“Saya yakin FFM34 akan terus menjadi landasan penting memartabatkan karya tempatan, memperluas pasaran global dan menyerlahkan bakat rakyat Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.

FFM34 mengangkat tema “Karya Kreatif, Sinema Dinamik" merupakan anjuran Finas dan bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media pada 8 Nov ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan