PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini menyertai program Jom 10,000 Langkah Kementerian Komunikasi bersama lebih 100 warga kementerian itu, sebagai tanda sokongan terhadap Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).
Program berbentuk santai sejauh kira-kira 3.6 kilometer bermula dari Menara Komunikasi di sini melalui laluan sisiran tasik, turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa.
Ini merupakan penyertaan julung kali bagi Fahmi dalam program berkenaan yang kini memasuki edisi keenam oleh Kementerian Komunikasi.
ANMS yang diterajui Kementerian Kesihatan (KKM) merupakan usaha berterusan untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat, sejajar aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara sejahtera menjelang 2030.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, KKM melancarkan Kempen Berjalan 10,000 Langkah pada 2009 bagi menggalakkan orang ramai menjalani gaya hidup lebih aktif dengan berjalan sekurang-kurangnya 150 hingga 300 minit seminggu pada intensiti sederhana.
Aktiviti berjalan kaki bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kecergasan fizikal, malah mampu mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, obesiti, diabetes dan kemurungan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial