KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang pemilik akaun TikTok untuk membayar ganti rugi berjumlah RM100,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes saman fitnah yang difailkan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas mendapati Rosmah, sebagai plaintif, berjaya membuktikan haknya untuk menerima ganti rugi akibat fitnah daripada Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, yang dinamakan sebagai defendan.
"Mahkamah menetapkan jumlah keseluruhan sebanyak RM100,000 untuk ganti rugi am dan ganti rugi teruk. Mahkamah membuat keputusan untuk tidak membenarkan tuntutan ganti rugi teladan kerana tiada bukti kukuh dikemukakan kepada mahkamah bagi menyokong pemberian itu.
"Saya juga memerintahkan faedah sebanyak lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh," katanya dalam penghakiman pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian.
Hakim Ahmad Shahrir turut memerintahkan Ku Muhammad Hilmie untuk membayar kos RM20,000.
Dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Shahrir berkata mahkamah mendapati tuduhan fitnah yang dilemparkan terhadap Rosmah mengaitkan beliau dengan amalan ilmu hitam.
"Tuduhan ini merupakan serangan terhadap perwatakan beliau dalam aspek integriti agama dan kedudukan moral.
"Dalam konteks masyarakat yang amat mementingkan nilai keagamaan dan moral, tuduhan seperti ini membawa kesan serius dan berpotensi menjejaskan nama baik dengan ketara," katanya.
Hakim Ahmad Shahrir berkata beliau mengambil kira trend kehakiman untuk bersikap sederhana dalam pemberian ganti rugi, menyifatkan ia sebagai pampasan dan bukannya bertujuan menghukum.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial