SUKAN

Muka Baharu Bakal Perkuat Skuad Sepak Takraw Di Piala Raja Thai 2025

08/07/2025 09:50 AM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Beberapa muka baharu bakal disenaraikan dalam pasukan regu sepak takraw negara yang akan menggalas cabaran negara di kejohanan Piala Raja Thai di Hat Yai, Thailand dari 20 hingga 27 Julai ini.

Ketua jurulatih pasukan sepak takraw negara Ahmad Jais Baharun berkata pihaknya sudah menghantar senarai pemain itu kepada pihak Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Senarai akhir dijangka dimuktamadkan selepas tamat Liga Sepak Takraw (STL) pada Ahad, dengan individu yang terpilih itu bakal menjalani latihan pusat pada Isnin ini.

“Secara peribadi pemain yang kita bawa kali ini merupakan beberapa pemain baharu yang kita bagi peluang untuk pamerkan prestasi sebenar mereka.

“Jadi, tiada rombakan besar pemain yang kita akan buat untuk kejohanan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada edisi tahun lepas, Malaysia meraih masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa dalam acara berpasukan lelaki dan kuadran campuran.

Dalam pada itu, Ahmad Jais berkata kejohanan berkenaan akan digunakan oleh barisan kejurulatihan untuk menilai kemampuan dan prestasi sebenar pemain untuk dibawa ke Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.

Malah, beliau berkata kejohanan itu bakal menjadi medan mengintai kombinasi regu terbaik, terutamanya dalam menamatkan kemarau emas 34 tahun negara dalam acara regu berpasukan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan