SUKAN

18 Negara Bakal Berentap Dalam Piala Raja Thai 2025

08/07/2025 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Sebanyak 18 negara akan berentap pada kejohanan sepak takraw dunia Piala Raja Thai ke-38 yang akan berlangsung di Songkhla, Thailand pada 22 hingga 27 Julai ini. 

Setiausaha Agung Persekutuan Sepak takraw Antarabangsa (ISTAF) Datuk Abdul Halim Kadir dalam kenyataan hari ini berkata skuad negara telah diundi untuk mengetuai Kumpulan B bersama Jepun, Laos, Myanmar dan Korea Selatan. 

Tuan rumah yang juga juara bertahan setelah menewaskan Malaysia 2-0 (4-15, 15-3, 15-11), (15-13, 15-9) dalam edisi ke-37 pula diundi dalam Kumpulan A acara berpasukan dengan Brunei, Vietnam, India dan Singapura.

“Angka ini berkurangan berbanding edisi lepas akibat penarikan diri besar-besaran 18 lagi negara, khususnya antara handalan dunia, Indonesia dan Filipina,” katanya. 

Abdul Halim berkata majlis undian yang diadakan di venue kejohanan itu semalam turut dihadiri Pemangku Presiden ISTAF Boonchai Lorhpipat dan Timbalan Presiden Fariq Halim serta Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) Thana Chaiprasit.

Beliau berkata dua acara Divisyen Perdana termasuk regu berpasukan wanita ialah kuadran (berempat) dan kuadran campuran manakala gelung (hoop) terbuka kepada semua negara peserta.

“Perhitungan 'buku dengan ruas' pula bakal disaksikan dalam acara kuadran lelaki yang menempatkan Thailand, Malaysia, Myanmar dan Korea Selatan dalam Kumpulan A. Mereka merupakan empat kuasa handalan sepak takraw dunia di samping Singapura.

“Hanya dua teratas dalam 'Kumpulan Maut' ini akan layak ke separuh akhir untuk berentap dengan bakal juara dan naib juara Kumpulan B yang dijangka milik Vietnam dan India,” katanya. 

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata acara regu dan beregu dalam Divisyen Perdana tidak akan dijalankan.

Acara regu katanya, akan dipertandingkan bagi Divisyen Satu yang disertai negara kurang handal seperti Taiwan, Australia, Bangladesh, Iraq, Sri Lanka, Nepal, Perancis dan Pakistan.

Beliau berkata tuan rumah TAT memaklumkan isu keselamatan akan dipantau sebaik mungkin sepanjang kejohanan lapan hari itu.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan