KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) --Garis Panduan Komunikasi Kecerdasan Buatan (AI) Bertanggungjawab yang bakal diperkenalkan kerajaan akan menjadi kerangka penting dalam menyokong golongan profesional dalam bidang media, perhubungan awam (PR) dan penciptaan kandungan digital.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata garis panduan itu dirangka bagi melengkapi Pelan Tindakan AI Nasional serta memastikan amalan komunikasi yang beretika, telus dan berintegriti terus diperkukuh ketika teknologi AI semakin mempengaruhi wacana awam.
Beliau menegaskan teknologi perlu berperanan untuk membantu manusia, bukan menggantikannya dan meminta golongan profesional komunikasi memimpin dengan tujuan yang jelas, berlandaskan prinsip inklusif dan ketelusan," katanya.
“Kita hidup dalam zaman komunikasi tanpa sempadan yang semakin dipengaruhi oleh AI. Namun, satu perkara yang tidak boleh berubah ialah keutamaan kepada etika dan pertimbangan manusia dalam komunikasi,” katanya.
Fahmi berkata demikian dalam ucaptama menerusi rakaman video sempena Persidangan Perhubungan Awam Antarabangsa Kuala Lumpur ke-7 (KLIP 7) di sini hari ini.
Beliau kini berada di Geneva, Switzerland bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringkat Tinggi Masyarakat Maklumat Sedunia+20 (WSIS+20).
Katanya Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini perlu mempamerkan kepimpinan yang bukan sahaja berasaskan kuasa dan mandat, tetapi turut didasari oleh visi, empati dan prinsip etika.
Mengulas lanjut, Fahmi menyifatkan tema persidangan KLIP 7, “AI Berimpak: Komunikasi Media Sosial dan Pendidikan Dalam Talian” sebagai tepat pada masanya, selaras dengan perubahan landskap komunikasi yang semakin dipengaruhi oleh teknologi moden.
Dalam pada itu, Fahmi turut memuji Ikrar Venice yang disokong oleh Global Alliance for Public Relations sebagai penanda aras global baharu dalam menjamin komunikasi AI yang beretika dan berpaksikan nilai kemanusiaan.
“Saya berbangga apabila Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) Jaffri Amin Osman, yang juga rakyat Malaysia, merupakan ahli Lembaga Global Alliance dan memainkan peranan penting dalam merangka Ikrar Venice,” katanya.
Fahmi turut merakamkan ucapan tahniah kepada penerima Anugerah Kecemerlangan PR ASEAN.
Sejak diperkenalkan pada 2019, KLIP menjadi platform persidangan utama peringkat antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin, profesional serta ahli akademik dalam bidang perhubungan awam dan komunikasi dari serantau ASEAN dan luar negara.
Persidangan kali ini menghimpunkan penceramah utama dari dalam dan luar negara, di samping sesi panel dan perbincangan interaktif yang menawarkan peluang jaringan dan perkongsian ilmu kepada para peserta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial