AM

Jepun Sokong Penuh ASEAN Berhubung Isu Myanmar, Sedia Perkukuh Kerjasama FOIP-AOIP

07/07/2025 12:18 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Jepun mengulangi sokongan penuh terhadap peranan utama ASEAN dalam menangani krisis berlarutan di Myanmar, sambil menyatakan kesediaan untuk memperkukuh kerjasama serantau menerusi Strategi Bebas dan Terbuka Indo-Pasifik (FOIP) selari dengan gagasan Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP).

Duta Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata berkata Tokyo kekal komited terhadap Konsensus Lima Perkara (5PC) dan terus menjadi saluran diplomatik dengan pelbagai pihak berkepentingan di Myanmar bagi memastikan dialog dan akses kemanusiaan diteruskan.

“Jepun konsisten dalam isu Myanmar melalui penyelarasan bersama ASEAN khususnya menerusi 5PC.

“Walaupun kami mempunyai saluran komunikasi dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar, kami tetap menyokong penuh peranan dan inisiatif utama ASEAN,”  katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif, baru-baru ini.

Beliau mengakui perkembangan berlaku perlahan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, namun menegaskan pendekatan Jepun tertumpu kepada sokongan kemanusaiaan dan pembangunan jangka panjang untuk rakyat Myanmar.

“Kami memahami kesulitan dialami, dan walaupun perkembangan terbatas, kami berharap di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, beberapa kemajuan dapat dicapai,” katanya.

Malaysia telah meningkatkan usaha diplomatik berkaitan Myanmar dengan menjalinkan hubungan bersama kepimpinan tentera serta Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) bagi mencari penyelesaian politik yang menyeluruh.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan berasingan dengan wakil daripada kedua-dua pihak, sambil menggesa agar gencatan senjata dilanjutkan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke kawasan terjejas akibat konflik.

Malaysia telah mencadangkan pelantikan seorang utusan khas tetap ASEAN dan mengulangi sokongan terhadap 5PC bagi memberi tumpuan kepada dialog serta akses kemanusiaan.

Shikata berkata Jepun juga bersedia untuk terus menyokong usaha tindak balas kemanusiaan yang diketuai ASEAN melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA), khususnya bagi komuniti pelarian dalam negara.

Gempa bumi berukuran 7.7 magnitud telah melanda bahagian tengah Myanmar, berhampiran Mandalay dan Sagaing, pada 28 Mac tahun ini. 

Bencana itu mengakibatkan kerosakan teruk yang memusnahkan infrastruktur, ribuan penduduk hilang tempat tinggal dan dilaporkan meragut lebih 3,700 nyawa.

Mengenai dinamik serantau, Shikata berkata strategi FOIP Jepun mempunyai banyak persamaan dengan AOIP ASEAN, khususnya dalam mempromosikan keterangkuman, keterbukaan, ketelusan dan undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata penyelarasan kedua-dua kerangka itu membuka peluang yang tepat untuk Jepun dan ASEAN bekerjasama dalam bidang keselamatan maritim, pembangunan mampan, infrastruktur dan integrasi ekonomi.

“Banyak persamaan antara AOIP dan FOIP, dan kami berhasrat untuk mengenal pasti bidang kerjasama yang konkrit antara Jepun dan ASEAN di bawah kedua-dua kerangka ini,”  katanya.

AOIP yang diterima pakai pada 2019, menggariskan pendekatan ASEAN dalam memupuk kerjasama inklusif dan berasaskan peraturan melalui platform yang diketuai ASEAN seperti Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

Strategi FOIP yang diperkenalkan pada 2016, memberi penekanan terhadap kebebasan pelayaran, kedaulatan undang-undang, pertumbuhan ekonomi dan kestabilan serantau.

Jepun menjadi rakan dialog pertama ASEAN pada 1973, dan kerjasama itu dimuktamadkan pada 1977.

Sepanjang beberapa dekad, Jepun telah secara berterusan memperluas penglibatannya dengan ASEAN, termasuk menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) pada 2004, melantik wakil khas ke ASEAN pada 2010 dan menempatkan perwakilan tetap di Jakarta pada tahun berikutnya.

Pada 2023, ASEAN dan Jepun meningkatkan hubungan menerusi Perkongsian Strategik Komprehensif, melambangkan sokongan Tokyo terhadap Kepusatan ASEAN dan kerjasama serantau meliputi politik, ekonomi dan sosiobudaya.

Menteri Luar Jepun Takeshi Iwaya akan berada di Kuala Lumpur pada 9 hingga 11 Julai bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan