AM

Penguatkuasaan Di Sempadan Negara Perlu Diperkasakan - Mohamed Fadzli

05/07/2025 08:34 PM

KOTA BHARU, 5 Julai (Bernama) -- Penguatkuasaan di sempadan negara perlu diperkasakan menerusi penugasan anggota yang lebih ramai, penambahan aset keselamatan serta kerjasama bersepadu antara semua agensi terlibat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata kewujudan puluhan laluan tidak sah di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand menimbulkan kebimbangan terhadap kawalan keselamatan negara.

Beliau berkata faktor geografi serta hubungan kekeluargaan di kedua-dua belah sempadan juga menjadikan kawasan tersebut lebih terdedah kepada risiko ancaman keselamatan.

"Kawalan yang lebih ketat amat diperlukan untuk memastikan sempadan negara tidak menjadi titik lemah yang mengundang ancaman kepada rakyat dan kedaulatan negara," katanya dalam kenyataan di laman rasmi Facebooknya hari ini.

Beliau berkata sempadan di negeri Kelantan merupakan sebahagian daripada sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand yang wajib dipertahankan dengan penuh ketegasan.

"Sempadan berkenaan meliputi jarak kira-kira 105 kilometer dengan sebahagian besarnya terdiri daripada aliran Sungai Golok yang memisahkan Kelantan dan wilayah Narathiwat di Thailand.

“Di negeri ini hanya terdapat tiga pintu masuk rasmi iaitu di Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor, bagaimanapun wujud puluhan laluan tidak sah di sebalik pintu masuk rasmi tersebut yang sering menjadi jalan bagi aktiviti rentas sempadan," katanya

Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam memastikan sempadan negara sentiasa terpelihara.

“Ini adalah tanggungjawab bersama demi melindungi kedaulatan negara, keselamatan rakyat serta masa depan nusa dan bangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan