KOTA BHARU, 5 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kelantan akan memperkasakan pemantauan dan penguatkuasaan di premis perniagaan bagi memastikan premis berkenaan bebas daripada sebarang aktiviti berkaitan dadah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata walaupun lesen perniagaan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan namun terdapat kerjasama erat dengan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kesihatan Negeri dan polis.
“Sekiranya kami menerima maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan termasuk penggunaan dadah oleh pekerja di premis ini, kita akan segera bekerjasama dengan polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan agensi lain yang berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Dunia Ke-7 Mengenai Senaman dan Perubatan Regeneratif (WCERM) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sindiket dadah menggunakan perniagaan restoran untuk mencuci hasil haram.
Pada Khamis, Bernama melaporkan polis menumpaskan sindiket pengedaran 35.4 kilogram pil kuda (pil amfetamin) bernilai RM5.04 juta dalam enam serbuan di Pasir Mas dan Tumpat.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali dilaporkan berkata sindiket itu menggunakan hasil dadah berkenaan untuk membuka pelbagai perniagaan bagi mencuci pendapatan haram mereka.
Antara yang dikenal pasti ialah restoran makanan laut di Tanah Merah, salun dan perusahaan dalam talian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial