Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 3 Julai Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives kebanyakannya ditutup tinggi hari ini, disokong oleh jangkaan pengeluaran yang lebih perlahan dan permintaan eksport yang kukuh.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata sentimen pasaran semakin baik berikutan peniaga menjangka pengeluaran lebih rendah dalam tempoh beberapa minggu akan datang manakala data tinjauan yang terkini menunjukkan eksport yang kukuh.
"Gandingan antara prospek pengeluaran yang lemah dan eksport yang stabil mengekalkan harga pada tahap yang baik buat masa ini," katanya kepada Bernama.
Ng berkata minat belian yang kukuh dari India turut menjadi faktor utama yang menyokong pasaran berikutan negara itu terus meningkatkan import minyak sawit sebagai maklum balas kepada harga yang kompetitif dan permintaan yang stabil.
“Kami melihat paras sokongan pada RM4,000 satu tan dan rintangan pada RM4,180,” katanya.
Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Julai susut RM2 kepada RM4,032 satu tan, kontrak Ogos 2025 meningkat RM29 kepada RM4,084 satu tan dan kontrak September 2025 naik RM29 kepada RM4,091 satu tan.
Kontrak Oktober 2025 menokok RM29 kepada RM4,092 satu tan, November 2025 meningkat RM25 kepada RM4,090 satu tan dan Disember 2025 bertambah RM21 kepada RM4,095 satu tan.
Jumlah dagangan menurun kepada 58,749 lot daripada 64,163 pada Rabu manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 225,914 kontrak daripada 224,873 sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan meningkat RM30 kepada RM4,080 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial