AM

Laporan Penuh Tanah Jerlus Jalan Masjid India Dibawa Ke Kabinet Selewatnya Akhir Tahun

03/07/2025 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Laporan penuh kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India dijangka dibawa ke perhatian Jemaah Menteri selewat-lewatnya hujung tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Dr Zaliha berkata beliau baru sahaja menerima laporan berkaitan insiden itu dan pihaknya sedang menelitinya sebelum dibentangkan ke Kabinet.

“Jangkaan saya sebelum akhir tahun ini (laporan itu dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mata Hati Wilayah di sini hari ini.

Pada Ogos tahun lepas, seorang mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy yang berasal dari India hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian itu. 

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita berkenaan membabitkan pelbagai agensi keselamatan, namun gagal menemukan mangsa.

Sementara itu, Dr Zaliha menolak gesaan sesetengah pihak supaya pembinaan projek Kota MADANI ditangguhkan sambil menegaskan projek berkenaan satu keperluan kerana dapat menyelesaikan masalah perumahan penjawat awam.

“Mereka (penjawat awam) yang menunggu (kuarters) ini banyak hingga 17,000 orang. Maka, unit yang kita bina nanti dalam Kota MADANI, lebih kurang 10,000 unit. Jadi itu akan membantu sedikit sebanyak untuk menyelesaikan masalah rumah ataupun kuarters yang diperlukan oleh penjawat awam.

“Sebab kita tahu di Putrajaya, khususnya 60 peratus daripada penduduk ialah penjawat awam. Maka, kita perlu memberikan keselesaan kepada mereka. Jadi saya tak setuju jika dinyatakan bahawa ia harus dilewatkan pembinaan,” katanya.

Projek Kota MADANI bernilai RM4 bilion itu akan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) menerusi model kerjasama awam-swasta berkonsepkan build, lease, maintain and transfer (Bina-Pajak-Selenggara-Pindah–BLMT), tanpa membabitkan peruntukan kerajaan pada peringkat awal.

Kota MADANI bakal merangkumi 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, sekolah menegak serta pelbagai kemudahan awam.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan