BUTTERWORTH, 3 Julai (Bernama) -- Seorang pemilik syarikat perkhidmatan pendawaian elektrik didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah memperdaya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah untuk membayar RM20,000 bagi pembekalan dan pemasangan enam unit Smart TV.
Hakim Zulhazmi Abdullah turut memerintahkan Mohd Khairudin Ali Amran, 40, dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda.
Mohd Khairudin didakwa menipu pihak PIBG sebuah sekolah dekat sini untuk mempercayai bahawa jumlah RM20,000 dalam sebut harga membekal dan memasang enam unit Philips Smart TV 65", namun hanya membekalkan empat unit manakala dua lagi yang berjumlah RM5,600 tidak dibekalkan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekolah terbabit pada 26 Mei 2023 mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya mahkamah mengenakan hukuman denda minimum atas alasan dia menanggung isteri, dua anak termasuk seorang anak Orang Kurang Upaya serta ibunya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial