SUKAN > BERITA

Thunderbolts MHS Sasar Lima Terbaik Saingan Divisyen 1 TNB MJHL 2025

03/07/2025 05:05 PM

MELAKA, 3 Julai (Bernama) -- Skuad hoki Thunderbolts Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka (MHS) bertekad meneruskan kecemerlangan pada aksi Divisyen 1, Kejohanan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2025 yang akan membuka tirai pada 19 Julai ini. 

Jurulatih pasukan Muhammad Fahmi Zulkifli berkata pengalaman beraksi pada Divisyen 2 hingga membawa gelaran juara dan kini bersaing di Divisyen 1 akan digunakan sebaiknya.

“Bagi saingan ini, kami sasarkan untuk berada dalam kelompok lima pasukan terbaik kerana kami perlu berdepan cabaran pasukan pilihan seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil, Sekolah Sukan Tunku Ismail dan SMK Anderson dari Perak,” katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pasukan Hoki Thunderbolts MHS yang disempurnakan oleh Presiden Persatuan Hoki Melaka merangkap Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin di sini hari ini. 

Mengakui saingan bukan mudah, Muhammad Zulkifli bagaimanapun berkata prestasi anak buahnya berada pada tahap terbaik dan percaya akan meningkat menjelang hari perlawanan sebenar.

“Cuma kekangan sekarang adalah rumput padang tempat kami berlatih agak kering disebabkan beberapa penyembur air automatik rosak, dan ini sedikit sebanyak menjejaskan rentak latihan pemain.

“Bila bermain atas padang yang kering, kita bimbang kecederaan akan berlaku. Secara asasnya, kita perlu mendedahkan pemain dengan keadaan padang sebenar ketika perlawanan iaitu permukaan padang basah,” katanya. 

Dalam pada itu, Rais berkata pemilihan MHS sebagai anak angkat Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta menerima penajaan RM100,000 akan menjadi suntikan semangat kepada skuad itu berdepan cabaran Divisyen 1 MJHL. 

Beliau berkata skuad itu yang juga ‘anak angkat’ ketujuh TNB bakal menerima tambahan tajaan kepada RM150,000 sekiranya kekal dalam saingan Divisyen 1 musim depan. 

Rais  berkata pihaknya juga telah mengambil maklum mengenai keadaan kemudahan padang hoki di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di Bukit Serindit yang menjadi antara lokasi latihan dan kejohanan hoki pelbagai peringkat. 

“Kita telah mendapat peruntukan untuk kerja-kerja baik pulih dan dijangka dimulakan pada hujung tahun ini.

“Begitu juga keadaan padang hoki di MHS ini, dan kami harap peruntukan yang dianggarkan RM200,000 dapat dibantu oleh jabatan berkaitan seperti Jabatan Pendidikan Negeri. Malah, kami berterima kasih dengan bantuan TNB yang menyumbangkan RM100,000 bagi pembangunan kemenjadian murid dalam sukan hoki ini,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan