AM

KPN, NEAC Teroka Kerjasama Strategik Kukuh Perpaduan Sosial

03/07/2025 11:41 AM

PUTRAJAYA, 3 Julai (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Suruhanjaya Ehwal Etnik Republik Rakyat China (NEAC) sedang meneroka potensi kerjasama strategik dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan pengukuhan perpaduan sosial.

Antara inisiatif utama yang sedang dibincangkan ialah pembangunan bersama modul latihan bagi mediator komuniti berasaskan pengalaman China melalui pelaksanaan Undang-undang Mediator serta pendekatan inovatif seperti Sistem Mahkamah Internet.

Menurut kenyataan KPN, perkara ini dizahirkan sempena Majlis Makan Malam anjuran KPN bersama delegasi NEAC di sini malam tadi, yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Timbalan Menteri NEAC Duan Yijun.

Majlis itu bagi menzahirkan penghargaan KPN terhadap komitmen NEAC dalam mempromosikan perpaduan dan keharmonian negara, serta menjadi platform penting memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China, khususnya dalam aspek tadbir urus etnik, keharmonian sosial dan integrasi budaya.

Selain itu, kedua-dua pihak turut mencadangkan penubuhan platform serantau seperti ASEAN–China Grassroots Social Cohesion Forum yang berperanan sebagai wadah perkongsian amalan terbaik dalam memperkukuh kohesi sosial di peringkat akar umbi. 

KPN dan NEAC turut berbincang mengenai pembangunan sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan corak konflik mikro dalam komuniti sekali gus mempertingkatkan tindakan pencegahan secara proaktif terhadap cabaran perpaduan.

“Kerjasama turut dirancang dalam pelaksanaan projek pemeliharaan warisan digital melalui penggunaan teknologi imersif seperti realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR) dan holografi,” menurut kenyataan itu.

KPN berharap hubungan dua hala yang sedia terjalin dengan NEAC akan terus diperkukuh selaras dengan visi Malaysia MADANI yang menekankan nilai perpaduan, keterangkuman serta penghormatan terhadap kepelbagaian budaya dan etnik dalam masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan