AM

LLSB Sasar Pengurangan 20 Peratus Sampah Sungai Klang Ke Tapak Pelupusan

02/07/2025 08:50 PM

KLANG, 2 Julai (Bernama) -- Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) menyasarkan untuk mengurangkan 20 peratus jumlah sampah dari Sungai Klang, khususnya plastik ke tapak pelupusan sampah menerusi penggunaan teknologi kemudahan pengasingan sisa.

Pengarah Urusannya Syaiful Azmen Nordin berkata kemudahan Waste Sorting Facility itu telah digunakan sejak Disember tahun lepas dan data yang direkodkan menunjukan inisiatif berkenaan berpotensi mengurangkan jumlah pembuangan sampah terutamanya plastik ke tapak pelupusan.

"Melalui sokongan dana daripada Coca Cola Malaysia dan kerjasama The Ocean Cleanup dengan J&K Wonderland Foundation, kemudahan yang beroperasi di Sungai Pinang itu telah berjaya mengasingkan empat tan metrik sampah plastik yang boleh dikitar semula dan tidak perlu dibuang ke tapak pelupusan.

"Tidak semua plastik boleh dikitar semula… jadi plastik yang tidak sesuai dipungut ketika proses pengasingan dapat membantu kita mengenal pasti dari mana datangnya sampah berkenaan sebelum dihanyutkan ke Sungai Klang," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis pelancaran kemudahan pengasingan sisa di Sungai Klang di Taman Awam Pengkalan Batu di sini yang turut dihadiri Datuk Bandar Klang Datuk Abd Hamid Hussain hari ini.

Syaiful Azmen berkata pihaknya sedang merancang untuk menambah tiga lagi kemudahan mesin pengasingan sisa itu di beberapa lokasi termasuk Sungai Kandis dan Shah Alam bagi meningkatkan jumlah pungutan sampah plastik yang boleh dikitar semula dari Sungai Klang.

Penggunaan kemudahan itu juga, katanya dapat menambah kecekapan mengasingkan sisa pepejal sungai hingga 10 tan metrik setiap hari berbanding kaedah manual menerusi tenaga kerja manusia yang kurang efisien dengan hasil pengasingan sampah tidak menentu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan