AM

Program Tarif Elektrif Hijau Diteruskan Dengan Struktur Harga Baharu

02/07/2025 06:46 PM

PUTRAJAYA, 2 Julai (Bernama) -- Program Tarif Elektrik Hijau (GET) bagi tahun ini akan diteruskan dengan penambahbaikan selaras, pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang berkuat kuasa mulai semalam.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kadar premium GET, yang sebelum ini berbeza mengikut kategori pengguna akan digabungkan kepada satu struktur harga tunggal dengan penurunan kadar premium hingga 80 peratus.

“Tempoh satu tahun akan dikenakan kadar premium 5 sen per kilowatt jam (kWj), dua tahun pada kadar 4 sen per kWj, dan tiga tahun pada kadar 3 sen per kWj untuk semua kategori pengguna domestik dan bukan domestik,” menurut kenyataan itu.

Menurut PETRA, langganan GET oleh pengguna yang sebelum ini tidak dikenakan caj pelepasan kos tidak berimbang (ICPT) juga akan kekal dikecualikan daripada mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang menggantikan ICPT.

Mengambil kira kemungkinan perubahan struktur dan implikasi kos kepada pelanggan sedia ada, PETRA memaklumkan pengguna GET diberikan pilihan untuk menamatkan langganan mereka tanpa sebarang penalti hingga 31 Ogos ini.

Selain itu, PETRA memaklumkan kerajaan turut bersetuju memperkenalkan mekanisme Program GET Greenpath bagi memenuhi keperluan pemilik pusat data, pengguna industri dan komersial yang melanggan bekalan elektrik hijau untuk mendapat pengiktirafan penggunaan tenaga hijau melalui sijil Tenaga Boleh Baharu (REC).

Program tersebut akan dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan dibuka untuk langganan mulai 1 Ogos ini.

Antara kriteria pelaksanaannya ialah pelanggan perlu melakukan pendaftaran dan pemakluman ‘tenant account’ yang akan menerima REC; jumlah REC yang diterima akan setara dengan jumlah penggunaan bekalan elektrik hijau yang dibilkan kepada pelanggan GET; dan caj sebanyak 0.2 sen per kWj akan dikenakan sebagai kos pentadbiran dan pengendalian.

Pengguna yang ingin memperbaharui atau melanggan Program GET boleh berbuat demikian melalui laman sesawang TNB ataupun menghubungi Kedai Tenaga TNB yang berhampiran mulai hari ini.

“Dengan ketetapan serta penambahbaikan kepada program GET ini, PETRA berharap ia akan memberikan keyakinan kepada syarikat korporat dan industri dalam melakukan perancangan dalam melanggan bekalan elektrik hijau, selain memperkukuhkan lagi kredibiliti program ini,” menurut PETRA.

Program GET diperkenalkan pada 2021 sebagai inisiatif strategik kerajaan untuk menawarkan bekalan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada pengguna TNB yang ingin mengurangkan jejak karbon.

Sejak itu, program GET telah membekalkan secara kumulatif sebanyak 10,500 gigawatt jam (GWj) tenaga elektrik hijau kepada lebih 3,551 pengguna.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan