BANGKOK, 1 Julai (Bernama) -- Paetongtarn Shinawatra menerima dengan rendah hati keputusan Mahkamah Perlembagaan untuk menggantung tugasnya sebagai perdana menteri sementara menunggu perbicaraan kes berkaitan perbualan telefon kontroversinya dengan pemimpin Kemboja, Hun Sen.
Dalam reaksi segera, Paetongtarn menekankan bahawa niat beliau dalam isu klip audio yang bocor itu adalah untuk berkhidmat kepada negara dan bukan untuk kepentingan peribadi.
“Saya akan berusaha membuktikan bahawa setiap tindakan saya berpunca daripada niat yang tulen dan usaha tanpa mengenal penat lelah, melebihi 100 peratus, demi benar-benar berkhidmat kepada negara, mempertahankan kedaulatan, melindungi nyawa anggota tentera dan memastikan keamanan dalam negara,” katanya kepada pemberita di Rumah Kerajaan pada Selasa.
Paetongtarn berkata beliau akan menggunakan tempoh 15 hari yang diberikan untuk menjelaskan niat sebenar beliau berhubung perbualan dengan Hun Sen.
“Sepanjang tempoh penggantungan ini, saya tegaskan komitmen saya untuk terus bekerja demi negara dengan sepenuh tenaga dan tekad,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang telah menghantar mesej sokongan dan memohon maaf kepada rakyat Thailand sekiranya isu ini menimbulkan keresahan atau kemarahan.
Terdahulu pada Selasa, Mahkamah Perlembagaan Thailand menggantung tugas Paetongtarn sementara menunggu perbicaraan petisyen yang difailkan oleh 36 senator yang mendakwa beliau tidak jujur dan melanggar piawaian etika, sekali gus melanggar perlembagaan.
Dalam satu kenyataan, mahkamah memaklumkan bahawa petisyen itu telah diterima untuk pertimbangan, dengan menyatakan bahawa perdana menteri mempunyai tempoh 15 hari untuk mengemukakan pembelaan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan, Suriya Jungrungreangkit, akan menjalankan tugas sebagai pemangku perdana menteri sementara mahkamah memutuskan status kes terhadap Paetongtarn.
Paetongtarn, 38, yang juga pemimpin Parti Pheu Thai dan anak kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, dilantik pada Ogos tahun lepas, menjadikannya perdana menteri wanita kedua dan termuda Thailand selepas memperoleh sokongan majoriti dalam undian Parlimen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial