KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Malaysia memperkukuh peranannya sebagai platform utama di Asia Tenggara bagi inovasi makanan, perkongsian strategik dan penyelesaian masa depan melalui acara Food and Drinks Malaysia by SIAL Network 2025 (FDM2025) yang berlangsung dari 1 hingga 3 Julai.
Pengarah Comexposium Sdn Bhd Exhibition (Asia Tenggara) Henri Tan berkata FDM berkenaan bukan sekadar pameran, malah merintis ruang bagi perusahaan makanan dan minuman (F&B) Malaysia untuk mengembangkan pasaran dan berhubung dengan pembeli global.
Henri berkata edisi ketiga itu telah membantu pemain tempatan untuk mengukuhkan kehadiran, meneroka potensi eksport dan menghubungkan mereka dengan pembeli antarabangsa melalui kekuatan rangkaian SIAL yang meliputi Asia, Eropah dan Timur Tengah.
“Sejak dilancarkan, FDM aktif menyumbang kepada pembangunan industri makanan dan minuman (F&B) Malaysia dengan memperjuangkan inovasi tempatan, menyokong amalan halal dan mampan, serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam perdagangan dan inovasi makanan.
“Ketika industri F&B terus mengorak langkah dengan lebih banyak tumpuan diberikan terhadap kemampanan, teknologi dan pemerkasaan pengguna, FDM kekal komited menjadi pemangkin kemajuan, menghubungkan aspirasi tempatan kepada peluang global,” katanya semasa majlis perasmian FDM 2025 di MITEC di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin serta dihadiri Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy serta Pengarah Projek Antarabangsa SIAL Network Nathalie Perraudin.
Berlangsung selama tiga hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), acara itu menghimpunkan lebih 18,000 pengunjung, 500 pempamer dari 60 negara serta lebih 20 pavilion antarabangsa dari seluruh ASEAN, Eropah dan Amerika Utara.
Sementara itu, Chan berkata FDM 2025 dan acara SIAL Shenzhen yang akan datang di China terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan strategik, perkongsian ilmu dan padanan perniagaan.
Beliau turut berpuas hati dengan kemajuan berterusan pameran itu, sambil menambah bahawa edisi tahun ini menampilkan pelbagai sorotan baharu yang menarik, termasuk The Chocolate Show yang mendapat sokongan Lembaga Koko Malaysia, selain SIAL Innovation Awards, Thai SELECT Awards dan banyak lagi.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada Lembaga Koko Malaysia atas sokongan mereka dalam menganjurkan The Chocolate Show di FDM by SIAL,” katanya.
Selain itu, majlis perasmian turut mengumumkan pemenang SIAL Innovation Awards Malaysia yang diadakan buat julung kali di negara ini yang menerima sebanyak 144 penyertaan daripada jenama tempatan dan antarabangsa.
Malaysia memenangi Anugerah Emas melalui produk Symphony Spread Black Sesame Cream keluaran Symphony Confection Sdn Bhd, diikuti MusaWa Puffs oleh Musarium Co. Ltd dari Thailand yang meraih Anugerah Perak, manakala Barley Fresh Noodle oleh Kosmode Health Singapore Pte Ltd dari Singapura merangkul Anugerah Gangsa.
Selain pertunjukan coklat dan penyampaian anugerah, FDM 2025 turut menyediakan pelbagai aktiviti , seperti Forum Halal FDM, Future Food & Agriculture oleh Impact Circle dan Global Culinary Challenge Malaysia (GCCM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial