Oleh Rohana Nasrah
KOTA KINABALU, 12 Jun (Bernama) -- Hujan tidak mematahkan semangat pengunjung pelbagai kaum untuk memeriahkan Sambutan Minggu Perpaduan 2026 di pekarangan Kompleks Sukan Likas, di sini, petang ini dengan menyertai pelbagai aktiviti termasuk sukan tradisional.
Tinjauan Bernama mendapati aktiviti seperti permainan gasing, terompah gergasi, boling kelapa, terompah kelapa dan baling tin bukan sahaja menceriakan suasana, malah memberi peluang kepada orang ramai khususnya generasi muda mengenali permainan serta sukan tradisional.
Ruang aktiviti itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang hadir bersama keluarga sekali gus mengimbau kenangan zaman kanak-kanak menerusi permainan tradisional yang popular suatu ketika dahulu.
Pekerja hotel Zulkifli Mohamad, 37, antara pengunjung yang tidak melepaskan peluang bermain gasing di ruang sukan tradisional.
“Saya sudah 20 tahun tidak bermain gasing, sejak darjah enam. Seronok sebab dapat mengimbau kenangan dan anak-anak pun turut sama bermain gasing. Ini juga untuk beri pendedahan kerana mereka tidak pernah melihat permainan ini,” katanya kepada Bernama.
Zulkifli berkata penganjuran aktiviti seumpama itu wajar diteruskan bagi memberi pendedahan kepada generasi muda tentang keunikan dan keseronokan permainan serta sukan tradisional.
“Generasi sekarang berbeza dengan generasi dulu, tiada gajet dan permainan tradisi inilah menjadi aktiviti. Justeru, amat bagus ia dihidupkan bagi memupuk minat mereka terhadap aktiviti orang lama,” katanya.
Seorang lagi pengunjung Norhayati Mohd Yusof, 37, pula berkata aktiviti permainan dan sukan tradisi tidak hanya memberi pengalaman menyeronokkan tetapi juga mengajar nilai kerjasama serta perpaduan.
Mengambil contoh terompah gergasi, Norhayati berkata permainan itu memerlukan setiap ahli kumpulan bergerak seiring bagi memastikan kejayaan pasukan.
“Ia mengajar kita untuk bekerjasama. Inilah prinsip perpaduan diterapkan dalam aktiviti ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Sabah Rina Ab Harun berkata penganjuran sukan tradisional pada Sambutan Minggu Perpaduan 2026 memberi ruang kepada masyarakat untuk merasai semula keseronokan permainan tersebut.
Rina berkata sukan tradisional seperti menyumpit, sepak manggis, gasing, congkak, batu seremban serta permainan seperti tingting dan dam aji masih dekat di hati masyarakat.
Beliau berkata aktiviti itu turut memberi ruang kepada generasi baharu merasai sendiri pengalaman bermain sukan tradisional yang menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat terdahulu.
Sambutan Minggu Perpaduan Negara 2026 anjuran Kementerian Perpaduan Negara akan berlangsung selama empat hari hingga Ahad ini bertemakan Bersama Membina Negara Bangsa.
Program itu antara pengisian utama di bawah flagship Kembara Perpaduan dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial