AM

Kelahiran Ditunggu Namun Vennpani Hilang Sekelip Mata

30/06/2025 04:30 PM

SUNGAI PETANI, 30 Jun (Bernama) -- “Kami tunggu lama untuk kelahirannya...tak sangka sekelip mata dia sudah tinggalkan kami,” luah T Panjawarnam, nenek kepada kanak-kanak perempuan V Vennpani yang terkorban dalam tragedi bot terbalik di Pulau Perhentian, Terengganu pada Sabtu lepas.

Menurut Panjawarnam, 68, cucunya yang berusia 10 tahun itu amat teruja untuk bercuti ke pulau peranginan bersama ibu dan bapanya serta tiga lagi ahli keluarga mereka.

Namun, percutian yang dirancang bertukar menjadi episod pilu yang tidak dapat dilupakan.

“Saya terkejut dan hampir pengsan ketika dimaklumkan cucu terkorban dalam insiden itu. Sukar untuk terima dan lupa semua kenangan sebab saya yang jaga dia sejak lahir,” katanya kepada pemberita di sini.

Difahamkan jasad Vennpani tiba di rumah keluarganya di Sungai Petani Heights di sini kira-kira 1 pagi dan dibawa ke Kampung Serukam kira-kira 12.30 tengah hari tadi untuk pengurusan jasadnya.

Tinjauan mendapati lebih 300 kenalan dan ahli keluarga hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.

Kejadian yang berlaku 10.30 malam Sabtu itu turut meragut nyawa dua lagi mangsa iaitu S Arumugam, 40, dan anaknya A Sarrvihka, 3, manakala dua mangsa masih dirawat di hospital termasuk seorang kritikal dan 10 lagi terselamat.

Kesemua penumpang bot berusia tiga hingga 40 tahun yang mempunyai pertalian keluarga itu dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas selesai makan malam, sebelum dipukul ombak besar hingga menyebabkan bot terbalik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan