AM

Pakar Falak Dipilih Sebagai Tokoh Maal Hijrah P. Pinang

27/06/2025 05:16 PM

GEORGE TOWN, 27 Jun (Bernama) -- Pakar ilmu falak dan astronomi, Datuk Dr Abdul Halim Abdul Aziz dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang sempena sambutan Maal Hijrah 1447H peringkat negeri, hari ini.

Abdul Halim, 67, yang merupakan anak jati Pulau Pinang dan bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang astronomi dan kristalografi sinar-X, menerima anugerah itu daripada Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib.

Beliau yang hadir bersama isteri, Datin Latifah Yusof menerima sijil penghargaan, trofi, hadiah sampingan dan wang tunai RM10,000 dalam majlis yang berlangsung di sebuah hotel di Bayan Lepas, dekat sini.

"Saya rasa terharu dan langsung tak menyangka menerima anugerah hari ini sebab tak diberitahu lebih awal. Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Allah atas penghormatan yang diberikan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis berkenaan. 

Abdul Halim yang juga Panel Pakar Falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jawatankuasa Falak Negeri Pulau Pinang berkata beliau akan terus menyumbang kepakarannya dalam bidang falak, terutama selepas sebelum ini berjaya memperkenalkan pengiraan waktu solat menggunakan kaedah multi-point yang lebih tepat dan inklusif. 

Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata sebelum ini satu titik koordinat digunakan untuk kaedah pengiraan waktu solat bagi seluruh Pulau Pinang dan hasil kajian yang dilakukan satu pendekatan baharu diperkenalkan yang mengambil kira pelbagai titik dalam satu zon dan memilih waktu paling lewat sebagai rujukan.

"Pulau Pinang antara negeri pertama melaksanakannya 10 tahun lepas dan kaedah itu kemudian turut digunakan oleh beberapa negeri lain seperti Perak dan Negeri Sembilan," katanya.

Selepas bersara pada 2018, Abdul Halim menubuhkan Lisafa Centre (Literasi, Sains, Agama dan Falsafah) sebagai sebuah institusi pendidikan sepanjang hayat khusus untuk golongan dewasa yang ingin terus aktif dan menyumbang kembali dalam dunia keilmuan.

Beliau berkata konsep Lisafa menggabungkan literasi, sains, agama dan falsafah secara holistik serta integratif dan percaya golongan dewasa mampu memperluaskan kefahaman mereka dengan meneroka pelbagai bidang secara menyeluruh.

"Lisafa telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Universiti Islam Negeri Sunan Kalijaga, Indonesia untuk menawarkan pengajian formal dalam bidang Islam di peringkat sarjana dan kedoktoran yang terbuka kepada pelajar pelbagai latar belakang termasuk jurutera dan pakar ekonomi,'' katanya.

Memiliki latar belakang akademik cemerlang dari luar negara, Abdul Halim memulakan pengajian peringkat A-Level di Hastings College of Further Education, St Leonards-on-Sea, United Kingdom sebelum menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Lanchester Polytechnic.

Pada majlis itu, Pengarah Perubatan dan Pakar Kanser Senior di ICON Cancer Centre Malaysia, Island Hospital Datuk Dr Mohamed Amir Shah Abdul Aziz, 47, menerima Anugerah Ikon Pendakwah manakala Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Prof Dr Noor Inayah Yaakub dipilih menerima Anugerah Khas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan