AM

Bacaan Doa, Yasin Buka Tirai 1447 Hijrah

26/06/2025 10:51 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Lebih 1,000 jemaah menghadiri Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun sempena ketibaan 1 Muharam 1447 Hijrah di Masjid Negara di sini hari ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee turut menyertai majlis.

Tepat 7.25 malam, doa penutup tahun 1446 Hijrah dibacakan, disusuli azan maghrib dan bacaan doa awal tahun dengan bacaan doa dipimpin Imam Besar Ehsan Mohd Hosni.

Selepas solat maghrib, majlis diteruskan dengan bacaan Yasin dan doa selamat bagi memohon tahun baharu dilimpahi keberkatan, keselamatan serta kesejahteraan buat seluruh umat Islam.

Pada majlis itu, Mohd Na’im bersama jemaah turut menunaikan solat jenazah ghaib untuk Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty, 76, yang meninggal dunia pagi tadi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor.

Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M akan berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini esok. 

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat ke majlis bertemakan “Membangun Ummah MADANI” itu.

Turut dijangka hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan Kabinet, ketua dan agensi kerajaan serta perwakilan asing.

Sambutan kali ini menekankan kepentingan umat Islam mengambil ibrah (pengajaran) daripada peristiwa hijrah dalam usaha membangunkan ummah yang bukan sahaja cemerlang fizikal tetapi juga rohani.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Mohd Na’im menyeru umat Islam di negara ini menjadikan semangat hijrah sebagai permulaan kepada perubahan pemikiran dan sikap.

Beliau berkata 1 Muharam adalah masa terbaik untuk bermuhasabah dan meninggalkan pemikiran jumud serta sikap negatif demi membina masyarakat lebih progresif dan seimbang. 

“Banyakkan berdoa agar kita diberikan kekuatan dan keazaman untuk terus melakar kebaikan serta membangunkan potensi diri dan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan