JENAYAH & MAHKAMAH

JKDM Gagalkan Cubaan Seludup Dadah Hampir 30.15 Kg Melalui KLIA

19/06/2025 08:24 PM

SEPANG, 19 Jun (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup dadah sebanyak hampir 30.15 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM2.65 juta melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah JKDM KLIA Zulkifli Muhammad berkata pada 17 April lepas, seorang lelaki tempatan ditangkap ketika cuba menyeludup keluar sebanyak 14.65 kg bunga ganja bernilai hampir RM1.44 juta menggunakan bagasi yang didaftar masuk untuk penerbangannya ke sebuah negara Eropah.

Beliau berkata lelaki berkenaan diarahkan untuk menjalani pemeriksaan bagasi selepas perjalanannya disekat Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) kerana mempunyai rekod senarai hitam.

"Semasa imbasan bagasi dilakukan, lelaki tersebut telah membuat cubaan untuk melarikan diri dan telah digagalkan oleh anggota JKDM yang bertugas. 

"Pemeriksaan menjumpai dadah jenis bunga ganja dimasukkan ke dalam plastik kedap udara bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa dan cuba diseludup keluar menggunakan bagasi yang telah diperiksa," katanya pada sidang media hari ini.

Zulkifli berkata pada 16 Mei pula, pihaknya menemukan 5.31 kg dadah jenis ekstasi bernilai hampir RM900,000 yang cuba diseludup masuk melalui sebuah dagangan di satu pengendali terminal kargo yang beroperasi di Zon Perdagangan Bebas KLIA.

Beliau berkata dadah yang dipercayai berasal dari sebuah negara Eropah itu dibungkus dan diisytiharkan sebagai komponen komputer riba.

Sementara itu, pada 24 Mei, Zulkifli berkata sebanyak 10.18 kg dadah jenis syabu bernilai hampir RM300,000 yang disorokkan dalam dagangan bersama pakaian cuba diseludup masuk menggunakan modus operandi yang sama.

Beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi kedua-dua kes melibatkan dagangan berkenaan namun mengakui menghadapi kesukaran kerana pihak terlibat dipercayai menggunakan nama dan alamat syarikat palsu.

"Kita sudah pergi ke (premis) seperti yang diisytiharkan dalam maklumat dagangan tetapi kami dapati syarikat itu tidak wujud atau menggunakan alamat orang lain," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan