AM

SK Putrajaya Presint 11 (1) Bukti Keunggulan Sekolah Di Malaysia

19/06/2025 03:02 PM

LANGKAWI, 19 Jun (Bernama) -- Pencapaian Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (1) sebagai finalis Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat membuktikan sekolah di Malaysia mampu menyerlah di persada antarabangsa.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata dalam ucapan tahniahnya turut merakamkan penghargaan kepada guru, pentadbir dan murid-murid atas usaha dan dedikasi mereka hingga berjaya mencapai tahap 10 terbaik dalam kategori berkenaan.

“Saya harap mereka akan disenarai pendek lagi untuk kemenangan di pusingan yang selanjutnya. Jadi kita ucapkan syabas dan tahniah.

“Ini menunjukkan Malaysia, anak-anak kita dan sekolah kita mempunyai potensi besar…maknanya acuan itu adalah acuan kita, budaya kita dan paling penting adalah sekolah kita,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN (#EduRoundtables2025) di sini hari ini. 

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada guru dan pelajar SK Putrajaya Presint 11 (1) atas pengiktirafan itu dan menyifatkan usaha dan dedikasi warga sekolah menjadi inspirasi kepada semua.

SK Putrajaya Presint 11 (1) terpilih dalam kategori Menyokong Kehidupan Sihat hasil inisiatif memperkenalkan aplikasi mudah alih HELPIE yang menumpukan kepada kesihatan mental dan kesejahteraan hidup.

Menurut kenyataan penganjur anugerah berkenaan T4 Education di laman webnya, sekolah berkenaan berjaya memecahkan tembok yang menjadi penghalang pemantapan kesihatan mental dan kesejahteraan hidup menerusi aplikasi HELPIE.

Direka dan dibangunkan oleh pelajar untuk pelajar, HELPIE menjadikan sokongan kesihatan mental boleh diakses, interaktif, menarik dan menyeronokkan.

Bagi memastikan pelajar dengan sumber digital terhad tidak ketinggalan, aplikasi itu dipasang pada tablet yang disediakan oleh sekolah, menjadikan ia boleh diakses oleh kanak-kanak sepanjang hari semasa di sekolah.

"Sejak pelaksanaannya, sekolah berkenaan telah melihat penurunan 60 peratus dalam tahap tekanan pelajar. Lebih 90 peratus pelajar dilaporkan mempunyai pemahaman lebih baik mengenai emosi mereka dan 87 peratus mengatakan mereka memahami tahap tekanan mereka dengan lebih baik,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan