KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan teknologi dan inovasi berasaskan sumber hutan, menerusi pelaksanaan menyeluruh aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan aplikasi.
FRIM memaklumkan inisiatif itu, satu usaha strategik institut berkenaan bagi menyokong aspirasi negara ke arah mencapai status Negara Berteknologi Tinggi menjelang 2030.
“Selaras Akta Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia 2016 dan Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi Negara, FRIM memainkan peranan penting dalam ekosistem inovasi nasional dengan menekankan kolaborasi antara sektor penyelidikan, industri dan kerajaan.
“Usaha ini turut berpandukan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang menyasarkan pelaburan penyelidikan dan inovasi bernilai RM85.7 bilion,” menurut FRIM dalam satu kenyataan.
FRIM memaklumkan pihaknya juga membantu merapatkan jurang antara makmal dan pasaran melalui penglibatan aktif dalam inisiatif nasional seperti Tahun Pengkomersialan Malaysia dan kerjasama erat dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Menurut kenyataan itu antara pendekatan yang dilaksanakan termasuk penyediaan pakej teknologi, pensijilan produk, perkhidmatan kepakaran teknikal serta aktiviti inkubasi melalui Bahagian Inovasi dan Komersialisasi FRIM.
“Sistem pengurusan Harta Intelek FRIM yang dikendalikan melalui Technology Information Management Systems, memastikan hasil inovasi dilindungi dan bersedia dikomersialkan dengan sokongan syarikat milik penuh FRIM iaitu FRIM Incorporated Sdn Bhd, yang memainkan peranan utama dalam memacu pelesenan teknologi dan penyesuaian hasil penyelidikan dengan kehendak pasaran.
“Antara kejayaan FRIM termasuk pengkomersialan klon dan ekstrak herba tempatan seperti Kacip Fatimah dan Cucur Atap, yang kini digunakan dalam produk kesejahteraan semula jadi dan berpotensi menembusi pasaran antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
FRIM memaklumkan pihaknya turut menawarkan perkhidmatan perundingan dan pemindahan teknologi kepada agensi kerajaan serta sektor swasta, meliputi bidang seperti pembangunan produk biojisim, silvikultur perladangan, pensijilan produk mesra alam dan pemetaan biodiversiti.
Di samping itu, FRIM juga menyalurkan khidmat kepakaran dalam pembangunan laluan denai interpretasi alam dan projek ekopelancongan yang menyokong kelestarian persekitaran.
“Melalui kerjasama strategik dengan pelbagai organisasi tempatan dan antarabangsa, FRIM juga aktif melaksanakan inisiatif penghijauan bagi memelihara biodiversiti serta meningkatkan kesedaran awam terhadap penghutanan semula.
“Kejayaan dalam menjana nilai komersial dan sosial daripada hasil penyelidikan membuktikan bahawa inovasi sains berasaskan sumber, hutan mampu turut mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” menurut kenyataan itu.
Justeru, FRIM akan terus memainkan peranan sebagai peneraju dalam membangunkan industri berasaskan sumber hutan yang inklusif, inovatif serta lestari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial