KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Beberapa bekas rakan sekerja Datuk Seri G. Palanivel, yang meninggal dunia hari ini, mengimbau kenangan mereka ketika bersama mendiang menabur khidmat dalam bidang kewartawanan.
Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang berkata mendiang merupakan satu-satunya bekas wartawan daripada agensi berita itu yang berjaya sampai ke tahap menjadi menteri Kabinet Persekutuan.
"Saya dan Palanivel rakan sekerja sebagai editor di Bernama pada dekad 80-an sehingga mendiang dilantik sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kerja Raya Tun S. Samy Vellu pada 1987.
"Salah satu kenangan yang saya tidak boleh lupa ialah pada hari Palanivel memberitahu saya, Azman, satu hari nanti saya akan jadi presiden MIC.
“Saya ketika itu anggap itu hanya satu gurau atau lawak. Rupa-rupanya ketika di Bernama lagi cita-cita hendak menjadi ahli politik sudah membara dalam mindanya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata Palanivel mencapai impiannya itu dengan asuhan dan sokongan padu Samy Vellu sehingga mengambil alih jawatan presiden MIC dan dilantik sebagai Menteri Kabinet.
Azman berkata ketika beliau memegang jawatan Pengerusi Bernama pada 2018, Palanivel telah dipilih sebagai seorang daripada penerima Anugerah Bernama Sepanjang Hayat sempena ulang tahun jubli emas agensi berita itu.
“Palanivel walaupun agak uzur dan kurang bercakap ketika itu menghadirkan diri untuk menerima anugerah di upacara yang diadakan di Dewan Perdana Felda,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi bekas rakan sekerja mendiang, Mohsin Abdullah berkata beliau banyak mempelajari ilmu kewartawanan daripada Palanivel yang merupakan wartawan senior ketika beliau bertugas di meja berita am pada 1970-an hingga awal 1980-an.
“Mendiang banyak bercerita tentang pengalamannya sebagai wartawan, banyak cerita politik dan perkembangan semasa suasana politik waktu itu. Banyak juga perkara yang saya belajar daripada ceritanya. Saya turut berduka dengan pemergian mendiang. Ucapan takziah buat keluarga,” katanya.
Palanivel, 76, yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 8 pagi tadi.
Dilahirkan pada 1 Mac 1949 di Pulau Pinang, Palanivel memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penyelidik di Muzium Negara menerusi Projek Lembah Bujang pada 1973 sebelum menyertai Bernama sebagai wartawan kanan pada April 1977.
Pada 1984, beliau dilantik sebagai penyunting bagi berita dalam negeri dan ekonomi agensi berita itu sebelum dipinjamkan sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Kerja Raya Tun S. Samy Vellu dari 1987 hingga 1990.
Palanivel aktif dalam politik menerusi MIC sejak awal 1970-an dan mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum pada 1990. Beliau menerajui MIC pada 2010 selepas Samy Vellu berundur.
Beliau memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada Pilihan Raya Umum 1990 dan kekal sebagai wakil rakyat di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sebelum tewas pada 2008.
Palanivel kembali ke Parlimen pada 2013 sebagai wakil rakyat bagi kawasan Cameron Highlands.
Sementara itu, Editor Projek Khas Bernama M. Govind Nair berkata beliau sangat berdukacita atas pemergian Palanivel dan menyifatkan mendiang sebagai seorang pemimpin negara yang dihormati serta bekas rakan sekerja dan sahabat yang disayangi di Bernama.
"Sebelum menceburi politik, Datuk Seri Palanivel merupakan editor di Bernama, seorang individu yang berdedikasi, berprinsip dan mudah bekerja dengannya.
"Saya berpeluang mengenali beliau bukan sekadar sebagai rakan sekerja malah sebagai sahabat sejati. Banyak kenangan kami makan bersama dan berbual dan saya akan sentiasa mengingati kemesraan, sikap rendah diri dan ketenangan yang dimilikinya," katanya.
Menurut Govind walaupun mendiang berjaya memegang jawatan tinggi, beliau tidak sombong, tidak pernah melupakan asal usulnya atau orang yang pernah bekerja dengannya.
Govind turut merakamkan ucapan takziah sambil menambah bahawa kehadiran G. Palanivel amat dirindui namun ingatan terhadapnya akan kekal dalam hati orang ramai dan dalam nilai yang diperjuangkannya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial