ALOR SETAR, 17 Jun (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang mengkaji keperluan menubuhkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu di sepanjang laluan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), bagi mempercepatkan respons dalam situasi kecemasan, khususnya kemalangan jalan raya.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata ketika ini BBP Gerik dan BBP Baling merupakan balai terdekat yang bertindak jika berlaku sebarang kecemasan di sepanjang laluan tersebut.
“Dalam kejadian kemalangan membabitkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini, bomba mengambil masa kira-kira 40 minit untuk tiba di lokasi dari BBP Gerik, iaitu yang paling hampir dengan tempat kejadian, dengan bantuan BBP Baling.
“Tiada balai bomba lain yang berdekatan. Berdasarkan insiden itu, JBPM kini sedang meneliti cadangan penubuhan BBP baharu di laluan tersebut. Bagaimanapun, kita perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk keupayaan kewangan kerajaan untuk merealisasikannya,” katanya selepas merasmikan Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) JBPM Kedah di sini hari ini.
Ahmad Izram berkata penubuhan balai baharu turut melibatkan kajian dan analisis terhadap tahap risiko dan bahaya sesuatu kawasan.
“Kita bukan sahaja mengambil kira risiko kemalangan, malah aspek kebakaran juga diberi perhatian,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas dinaiki mereka dari Jertih untuk pulang ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah Perodua Alza di JRTB, menyebabkan bas itu terbalik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial