CYBERJAYA, 16 Jun (Bernama) -- Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME), inisiatif strategik Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dilancarkan hari ini bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan menghadapi bencana dan kecemasan di tempat awam.
PRIME yang dilancarkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di sini hari ini juga merupakan sistem komunikasi bersepadu, bergerak berasaskan kenderaan yang dilengkapi teknologi satelit, selular, radio dua hala, Wi-Fi dan dron, yang dibangunkan sepenuhnya oleh MCMC dengan gabungan teknologi tempatan dan luar.
Fahmi dalam ucapan perasmian di majlis pelancaran itu berkata perkhidmatan komunikasi kini merupakan sebahagian keperluan asas yang penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan masyarakat.
“Namun begitu sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita telah menyaksikan peningkatan krisis dan bencana semula jadi seperti banjir dan tanah runtuh, mahupun bencana buatan seperti kebakaran atau gangguan teknikal.
“Situasi ini kadang kala turut menjejaskan perkhidmatan komunikasi, sedangkan pada saat-saat itulah komunikasi adalah paling kritikal. Maka PRIME telah dibangunkan sebagai sistem sokongan strategik untuk memastikan keupayaan komunikasi semasa operasi dapat diteruskan,” katanya.
Dari segi teknikal, PRIME direka dengan keupayaan untuk menggabungkan lebar jalur (bandwidth bonding) daripada sambungan satelit dan rangkaian selular bagi membolehkan capaian Internet berkelajuan tinggi disediakan secara lebih stabil dan efisien.
Liputan Internet itu boleh mencapai sejauh 150 meter di sekeliling kenderaan PRIME, dengan sokongan titik capaian WiFi (WiFi Access Point) yang berfungsi untuk memperluas jangkauan apabila perkhidmatan diperlukan.
Selain itu PRIME turut dilengkapi dengan sistem radio mudah alih yang membolehkan komunikasi di kawasan yang langsung tiada liputan atau apabila rangkaian terrestrial terganggu.
Ia turut menyokong program jangkauan komuniti seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab digital bergerak yang membolehkan perkhidmatan Internet dipamerkan dan aktiviti komuniti dilaksanakan terus di lokasi sasaran.
Sementara itu dalam sidang media selepas majlis berkenaan, Fahmi berkata dua lagi unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat tahun ini dengan anggaran kos mencecah RM1 juta setiap unit.
“Satu (yang dilancarkan hari ini) akan ditempatkan di ibu pejabat MCMC dan dua lagi akan digerakkan ke Sabah dan Sarawak, dijangka siap suku keempat 2025,” katanya.
Fahmi turut berharap MCMC dapat menjalin kerjasama dengan agensi lain seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memastikan peralatan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya terutama pada waktu bencana dan kecemasan.
Beliau berkata MCMC juga akan diminta meneliti penggunaan PRIME selepas sesuatu tempoh, bertujuan mengkaji ruang penambahbaikan dan aspek kesesuaian PRIME.
“Kita jangkakan mungkin pada bulan Oktober kita boleh laksanakan beberapa dry run, test run bersama dengan pasukan terutama di negeri-negeri yang akan berdepan dengan Monsun Timur Laut dan bagaimana persiapan kepakaran yang dilakukan,” kata Fahmi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial