ASTANA, 17 Jun (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping berkata bahawa China bersedia bekerjasama dengan Kazakhstan untuk menyumbang kepada keamanan serta pembangunan serantau dan global dengan memanfaatkan kestabilan dan tenaga positif yang wujud dalam hubungan dua hala.
Xi membuat kenyataan itu ketika mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev di sini pada Isnin.
Xi berkata China sentiasa melihat hubungan dengan Kazakhstan dari sudut strategi dan perspektif jangka panjang serta bersedia bekerjasama dengan Kazakhstan untuk mengukuhkan persahabatan.
Xi menegaskan bahawa China dan Kazakhstan masing-masing berada pada fasa kritikal dalam pembangunan dan perkembangan negara dan perlu berusaha untuk menggalakkan kerjasama dalam pelbagai aspek.
"Perkembangan hubungan dua hala perlu berpaksikan rasa saling percaya dari segi strategi di peringkat kepimpinan, dengan kedua-dua negara perlu terus saling menyokong dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan teras dan keprihatinan utama.
"Kedua-dua negara perlu memperkasakan kerjasama dua hala melalui pembinaan bersama yang berkualiti di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan, selain meningkatkan kesalinghubungan, meneroka potensi dalam kerjasama teknologi canggih dan mendorong pembangunan mesra alam yang mampan.
"Selain itu, kedua-dua negara juga perlu memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan secara komprehensif demi melindungi kedamaian dan kestabilan, selain memperdalam kerjasama dalam bidang pengurusan kecemasan serta pencegahan dan pengurangan bencana.
"Dalam masa yang sama, kedua-dua negara perlu meningkatkan pertukaran dalam bidang sosiobudaya yang pelbagai untuk memupuk ikatan dalam kalangan rakyatnya," kata Xi.
Xi juga menekankan, di sebalik situasi antarabangsa yang bergolak, China dan Kazakhstan perlu tampil melindungi sistem antarabangsa yang berteraskan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan memelihara orde antarabangsa berasaskan undang-undang antarabangsa, mengamalkan multilateralisme yang sebenar bagi menjaga kepentingan bersama negara-negara membangun.
Sementara itu, Tokayev menyatakan kesediaan Kazakhstan untuk terus memperkukuh kepercayaan strategik dan meluaskan kerjasama saling menguntungkan dengan China dalam pelbagai bidang, bagi mengangkat hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.
Selepas rundingan itu, pemimpin kedua-dua negara turut menyaksikan pemeteraian lebih 10 dokumen kerjasama dua hala melibatkan bidang perdagangan, pelaburan, sains dan teknologi, kastam, pelancongan dan media.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial