PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Seramai 10,000 pekerja akan dilatih dengan kemahiran asas pertolongan cemas menerusi inisiatif baharu Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi memperkukuh keselamatan dan kesiapsiagaan di tempat kerja.
KESUMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan usaha itu dimeterai hasil kerjasama strategik antara kementerian, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).
Perkara itu diumumkan Menteri Sumber Manusia Steven Sim semasa lawatan rasminya ke ibu pejabat IFRC di Geneva, baru-baru ini.
"Latihan tersebut akan dilaksanakan melalui HRD Corp dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan tumpuan kepada sektor berisiko tinggi seperti pembuatan dan industri utama.
"Kursus Pertolongan Cemas di Tempat Kerja ini bukan sekadar latihan teknikal tetapi satu usaha memperkasakan pekerja dan memupuk budaya keselamatan nasional," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu antara objektif utama inisiatif berkenaan termasuk mengurangkan kadar kematian dan kecacatan akibat kemalangan menerusi tindak balas awal yang berkesan, memupuk budaya keselamatan dalam kalangan majikan dan pekerja serta menyokong pematuhan kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).
Sementara itu, Sim dalam kenyataan sama berkata kerjasama itu bukan sekadar latihan tetapi ia adalah usaha memperkasakan rakyat Malaysia untuk menyelamatkan nyawa.
"Kita mahu sampaikan mesej jelas, keselamatan di tempat kerja bukan pilihan, ia satu keutamaan," kata Sim yang juga Penaung PBSMM Pulau Pinang.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan