AM

Suasana Landasan LTAPP Gempar Dengan 'letupan', Latihan Kecemasan Nahas Pesawat

18/06/2025 04:54 PM

GEORGE TOWN, 18 Jun (Bernama) -- Suasana di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) gempar seketika apabila lebih 134 penumpang kapal terbang dilihat 'cedera' dan 'maut' dikatakan akibat 'letupan' sebuah pesawat 738 Boeing milik 'Harimau Kumbang Air'.

Bagaimanapun ia hanyalah lakonan bagi menjayakan latihan amal lapangan terbang (EX) Harimau Kumbang, sebagai langkah persediaan menerima pengguna perkhidmatan udara lebih ramai selain menitikberatkan aspek keselamatan penumpang.

Senario latihan bermula 10 pagi itu menyaksikan 'mangsa' diberikan bantuan kecemasan serta-merta oleh Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) dengan kerjasama agensi lain, antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam.

Kelihatan 'mangsa' yang mengerang kesakitan segera diselamatkan dan dialihkan dari kawasan pesawat dan ditempatkan di kawasan lapang untuk diberikan bantuan oleh pasukan keselamatan sebelum dihantar ke hospital oleh pasukan perubatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Nermaljit Singh berkata LTAPP hari ini melaksanakan latihan kecemasan berskala penuh yang dinamakan “Ex Harimau Kumbang” bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan menghadapi insiden nahas pesawat.

Bercakap pada sidang media selepas Ex Harimau Kumbang, Nermaljit berkata latihan itu melibatkan lebih 550 anggota daripada 28 agensi kerajaan dan swasta bertujuan menguji pelan tindakan kecemasan serta tahap koordinasi antara agensi.

"Senario latihan melibatkan pesawat milik syarikat penerbangan rekaan “Harimau Kumbang Air” yang mengalami kebakaran enjin dan kegagalan sistem hidraulik akibat dilanggar burung sehingga terpaksa melakukan pendaratan kecemasan secara "belly landing".

"Latihan ini dilaksanakan mengikut sepenuhnya piawaian dan peraturan penerbangan antarabangsa dan kebangsaan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)," katanya.

Beliau berkata latihan berskala penuh itu diadakan sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun bagi menilai kecekapan masa tindak balas, pengendalian mangsa dan operasi menyelamat di lokasi kejadian selain menegaskan latihan selama dua jam itu amat penting untuk memastikan tahap kesiapsiagaan tinggi serta koordinasi berkesan dalam kalangan semua agensi bertindak.

Nermaljit berkata bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial, PDRM turut menasihati pihak penganjur agar memaklumkan kepada orang awam mengenai latihan berkenaan lebih awal dengan menggunakan saluran rasmi.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Operasi AFRS PIA Noor Azirul Hafiz Maamor berkata pihak PIA telah memaklumkan semua syarikat penerbangan berhubung latihan yang dijalankan hari ini supaya perancangan awal dapat diambil oleh mereka.

Sebagai persediaan untuk latihan tersebut, beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan dua notis pemberitahuan bagi memaklumkan mengenai landasan ditutup sepanjang tempoh latihan.

"Turut tiada sebarang pergerakan turun atau naik bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang tempoh tersebut, jika ada penerbangan laluannya akan dialihkan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan