EKONOMI

Tengku Zafrul Teruskan Rundingan Berkaitan Tarif Dengan Washington Rabu Depan

11/06/2025 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan ke Washington pada 18 Jun ini untuk meneruskan rundingan berkaitan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia. 

Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan olehnya kepada Kabinet hari ini.

“Saya akan ke AS minggu depan dan kita akan meneruskan rundingan secara fizikal. Sebelum ini, perbincangan itu berterusan secara dalam talian. 

“Saya akan berjumpa dengan Wakil Perdagangan AS (USTR) minggu depan di Washington,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian Pembiayaan Bersindike dan Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat DayOne di sini, hari ini.

Beliau akan mengadakan perjumpaan bersama USTR, Jamieson Greer serta wakil-wakil pentadbiran AS dan juga pelabur, katanya.

Di samping itu, Tengku Zafrul juga akan mengambil peluang untuk bertemu wakil daripada beberapa dewan perniagaan, syarikat dan kumpulan berkepentingan termasuk Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) dan Majlis Perniagaan AS-ASEAN.

Pada 24 April lepas,Tengku Zafrul telah mengetuai delegasi peringkat tinggi ke Washington untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Greer. 

Semasa pertemuan itu Tengku Zafrul menekankan kepentingan untuk mengadakan perbincangan secara berterusan dan mengulangi kesediaan Malaysia untuk mencari jalan penyelesaian secara membina terhadap kebimbangan yang disuarakan AS.

Malaysia menyatakan keterbukaan untuk mengadakan rundingan dalam empat bidang utama: mengurangkan defisit perdagangan, menangani isu halangan bukan tarif, mengukuhkan perlindungan dan keselamatan teknologi serta meneroka potensi perjanjian perdagangan dua hala.

Pada 2 April lepas, Presiden AS Donald Trump telah mengumumkan tarif terhadap kira-kira 60 negara termasuk 24 peratus ke atas kebanyakan barangan Malaysia.  

Bagaimanapun, tarif itu telah ditangguhkan selama 90 hari bagi kebanyakan negara untuk membolehkan rundingan perdagangan diadakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan