JENAYAH & MAHKAMAH

Gilbert Dilantik Pemangku Pengarah Jabatan Logistik Dan Teknologi

11/06/2025 01:14 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Timbalan Pengarah Teknikal/Operasi Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) Bukit Aman DCP Gilbert Philip Layang, dilantik memangku jawatan Pengarah JLog Bukit Aman berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Seri Sahabudin Abd Manan yang menamatkan perkhidmatan selepas 37 tahun mencurah bakti dalam pasukan berkenaan.

Majlis serah terima jawatan yang berlangsung di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hasim, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Dalam ucapannya, Ayob Khan menyifatkan Sahabudin sebagai seorang pemimpin berwibawa yang menerajui JLog dengan penuh komitmen dan integriti sepanjang hampir empat tahun sejak 5 Julai 2021.

“Sepanjang 37 tahun dalam perkhidmatan, beliau memegang pelbagai jawatan strategik di peringkat kontinjen dan jabatan, termasuk di Kontinjen Kedah dan Pulau Pinang, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), serta Jabatan Logistik.

“Keberkesanan kepimpinan beliau juga membolehkan pelbagai inisiatif jabatan-jabatan lain dapat direalisasikan ke arah peningkatan penyampaian perkhidmatan pasukan secara inklusif,” katanya.

Ayob berkata antara pencapaian membanggakan JLog di bawah kepimpinan Sahabudin adalah pembangunan sistem SMART Lokap hasil kerjasama dengan MOSTI dan MIMOS yang telah meraih Anugerah Inovasi Perusahaan Asia Pasifik 2015.

Selain itu, pelaksanaan pemasangan kuasa elektrik tetap di Bukit Tagasan, Semporna, projek kebajikan seperti Kuarters AKSEM di Padang Besar, serta pemerkasaan Unit Pemusnahan Bom yang berjaya menangani bahan letupan berkaliber tinggi .

Sementara itu, Sahabudin dalam ucapannya meluahkan rasa syukur dapat menamatkan kerjaya dalam keadaan penuh bermakna dan memohon maaf atas sebarang kekurangan sepanjang tempoh perkhidmatan.

"Saya telah memberikan segala-galanya. Saya telah lakukan yang terbaik. Tetapi, sudah tentu, kadang-kadang apa yang terbaik daripada saya masih belum mencukupi," katanya penuh emosi.

Beliau turut menekankan bahawa kepimpinan JLog memerlukan pendekatan kolektif dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan strategik bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan pasukan secara menyeluruh.

Anak kelahiran Terengganu itu memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Kadet ASP pada 5 Jun 1988 dan memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik dari University of Pacific, Amerika Syarikat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan