KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Projek pembangunan Kota MADANI membuktikan komitmen kerajaan dalam memenuhi hak dan keperluan penjawat awam khususnya sebagai penyelesaian konkrit kepada isu perumahan awam di Putrajaya.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat Sivamalar Genapathy berkata projek itu bukan dibangunkan untuk golongan elitis mahupun berunsurkan ‘sindrom pencakar langit’ seperti dilihat dalam pentadbiran sebelum ini sebaliknya ia bagi menangani ketidakseimbangan antara permohonan kuarters dengan jumlah unit yang tersedia di Putrajaya.
"Laporan Ketua Audit Negara 2021 mengesahkan bahawa hampir 18,0000 penjawat awam masih berada dalam senarai menunggu untuk menduduki kuarters kerajaan namun begitu tiada pembangunan kuarters baharu telah dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Hakikatnya, 90 peratus daripada penduduk Putrajaya adalah penjawat awam maka wajar dan amat perlu untuk kerajaan memastikan keperluan asas mereka dipenuhi," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Projek Kota MADANI bakal menyediakan 10,000 unit kuarters yang dikhaskan untuk penjawat awam dan berupaya menempatkan sehingga 30,000 penduduk dengan menawarkan model pembangunan bandar yang inklusif serta mampan.
Sivamalar berkata jumlah itu bukan sekadar angka tetapi merupakan komitmen sebenar untuk memenuhi keperluan mereka yang selama ini menjadi tulang belakang pentadbiran negara sekali gus menunjukkan Kerajaan MADANI bukan sekadar menabur janji sebaliknya menyampaikan penyelesaian konkrit kepada isu lama yang tidak diberi perhatian.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata pembangunan Kota MADANI merupakan satu pelaburan strategik jangka panjang dalam merangka masa depan Putrajaya sebagai bandar contoh yang mendukung nilai-nilai MADANI selari dengan visi Bandar Chase.
Dr Zaliha berkata Kota MADANI akan menjadi asas kepada sebuah bandar rendah karbon yang menjunjung prinsip kemampanan, kesejahteraan dan keselamatan awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial