AM

Ekspo Bandar Pintar KL Perkukuh Agenda Smart Nation 2040 - Gobind

04/06/2025 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur 2025 (SCEKL2025), edisi pertama Kongres Ekspo Bandar Pintar Dunia bagi rantau Asia Tenggara pada September ini, menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai Smart Nation menjelang 2040, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata SCEKL25 menggariskan peranan utama Malaysia dalam memajukan pembangunan bandar pintar berasaskan empat tonggak strategik iaitu Bandar Kecerdasan Buatan (AI), Bandar Lestari dan Berdaya Tahan, Keusahawanan Digital dan Pembangunan Ekonomi serta Pemerkasaan Komuniti menerusi Penyelesaian Digital.

"SCEKL25 merupakan langkah ke hadapan dalam cita-cita Malaysia untuk menjadi peneraju hab digital serantau. Ia menyediakan platform bagi perbincangan transformatif mengenai masa depan inovasi bandar," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Gobind melancarkan kira detik 100 hari penganjuran SCEKL2025 yang akan diadakan pada 17-19 Sept ini.

Bertemakan “AI Cities: Shaping Our Digital Future,” ekspo tersebut mengetengahkan wawasan negara untuk bandar pintar, inklusif dan lestari.

Mengulas lanjut, Gobind berkata dengan ekonomi digital ASEAN pada puncak pertumbuhan eksponen, ekspo itu menawarkan platform unik untuk mempamerkan teknologi termaju selain dialog mengenai AI dan transformasi digital yang akan membentuk bandar masa depan.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Anuar Fariz Fadzil menyuarakan sentimen sama dan menyifatkan SCEKL25 sebagai pemangkin kepada revolusi bandar pintar di Asia Tenggara.

Beliau berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen negara untuk memimpin rantau ini dalam membangunkan bandar pintar, inklusif, berdaya tahan dan mampan yang dikuasakan AI iaitu teknologi memperkasakan rakyat selain memacu gelombang transformasi bandar seterusnya.

Ekspo anjuran MDEC dan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk Kementerian Digital itu, bakal menghimpunkan pemimpin global, pelabur, inovator teknologi dan penggubal dasar untuk meneroka bagaimana AI dan teknologi baharu membentuk semula kehidupan bandar di ASEAN.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan