AM

PBAKL Platform Penerbit Luar Negara Tembusi Pasaran Malaysia

01/06/2025 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 dilihat menjadi platform penting untuk penerbit luar negara menembusi pasaran pembaca Malaysia menerusi penyertaan dalam acara tahunan itu.

Pengasas bersama syarikat penerbitan Ungu Pen Maria Mahat berkata penyertaan yang memasuki tahun ketiga itu sebagai langkah untuk memperkenalkan hasil terbitan syarikatnya dari Singapura selain bertujuan untuk mendekati lebih ramai pembaca di Malaysia.

“Di Ungu Pen kami menerbitkan banyak buku dalam bahasa Melayu serta dwibahasa Melayu-Inggeris  terutamanya buku kanak-kanak. Jadi, kami ingin mencuba pasaran di sini memandangkan kita serumpun dan berkongsi bahasa.

“Kami tidak ada sasaran jualan yang khusus sebab masih baru dan belum dikenali ramai tetapi Alhamdulillah, ada buku yang sudah habis dijual dan kami nak mereka tahu bahawa terdapat syarikat luar negara juga menerbitkan buku bahasa Melayu berkualiti dan sesuai untuk pembaca di sini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

Maria yang juga seorang penulis berkata buku terbitan syarikatnya yang memberi fokus kepada kanak-kanak, dilengkapi dengan ciri unik seperti penggunaan abjad yang mesra penghidap disleksia serta elemen digital seperti animasi, lagu dan Realiti Terimbuh (AR), menjadikan proses membaca lebih interaktif dan menyeronokkan.

Pengasas dan penerbit syarikat Unggun Creative Dr Noridah Kamari berkata penyertaan pertama kali syarikatnya di PBAKL bertujuan memperkenalkan terbitannya kepada rakyat Malaysia serta mahu menjalin hubungan lebih erat dengan pembaca dan penulis tempatan.

“Selama ini kami hadir ke PBAKL sebagai pengunjung, tapi tahun ini kali pertama kami menyertai sebagai pempamer. Kami ingin menguji pasaran dan melihat sejauh mana buku-buku dari Singapura diterima pembaca sini.

“Fokus kami bukan hanya kepada jualan, tetapi lebih kepada usaha membina jaringan sosial dengan pembaca dan penulis, khususnya dari Malaysia. Ini kerana terdapat penulis Malaysia yang terlibat dalam buku dan majalah terbitan kami seperti majalah Kayu Api yang menampilkan karya-karya daripada mereka,” katanya.

Sementara itu, penerbit Gema Insani dari Indonesia Muhammad Yusuf berkata PBAKL 2025 penyertaan ketiganya, kali ini bersama dua lagi penerbit dari negaranya di bawah satu reruai.

“Bagi PBAKL kali ini kami bergabung bersama dua lagi syarikat penerbit, iaitu Pustaka Al-Kautsar dan Gulalibooks, menjual buku di rerurai yang sama. Kami percaya potensi pasaran di Malaysia cukup besar dengan sambutan pengunjung yang positif daripada kanak-kanak, pelajar sekolah, orang dewasa, dan mahasiswa.

“Buku-buku yang kami bawa, termasuk karya tokoh terkenal Buya Hamka serta komik sejarah dan buku kanak-kanak, sesuai dengan minat pembaca di sini,” katanya.

Bertemakan ‘Buku: Membaca, Memimpin’, PBAKL 2025 yang berlangsung sejak 23 Mei dan berakhir hari ini menampilkan lebih 1,000 reruai dengan penyertaan hampir 300 penerbit dari dalam dan luar negara.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan