KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Penyertaan dalam pertandingan Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 bukan semata-mata untuk merebut hadiah kemenangan sebaliknya menjadi medan memperkasa serta menanam minat dalam kalangan generasi muda terhadap seni warisan bangsa itu.
Penggiat pantun dan personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya berkata pendekatan menyeronokkan dalam pertandingan juga mampu menarik lebih ramai penyertaan serta menghapuskan persepsi bahawa pantun hanya untuk bersaing.
“Sebagai penggiat pantun, saya nak jadikan pantun ini sesuatu yang menyeronokkan dan terus berkembang. Ia kadang-kadang lebih kepada perjuangan untuk memupuk rasa bangga terhadap seni ini sebab ramai orang takut nak berpantun apabila ia dilihat sebagai satu bentuk pertandingan.
“Sebab itu saya bawa pasukan sendiri, saya paling senior dan saya bawa anak-anak muda untuk beri mereka peluang serta pengalaman,” katanya kepada Bernama.
Beliau menjangkakan penganjuran pertandingan itu akan menarik lebih ramai penyertaan apabila orang ramai mula menyedari signifikan acara berkenaan sekali gus membuktikan komitmen dan kesinambungan penganjur dalam memartabatkan seni pantun.
"Insya-Allah pada masa akan datang, pertandingan pantun ini akan menjadi sesuatu yang besar. Ia juga memberi ruang dan peluang untuk kita melatih lebih ramai pelapis dalam dunia pantun,” katanya yang datang lengkap dengan pakaian tradisional Melayu.
Sementara itu, wartawan Astro Radio News, Nurul Izzati, 31, berharap pertandingan itu dijadikan acara tahunan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) bagi memastikan kelangsungan seni pantun dalam kalangan generasi muda.
“Ini kali pertama saya menyertai pertandingan pantun. Diharapkan selepas ini akan ada lagi penganjuran seumpama ini. Sekarang orang dah makin kurang minat dengan pantun, jadi kita nak martabatkan semula seni warisan Melayu ini,” katanya.
Penerbit rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) TV3, Affiq Norshamsudin pula berkata penyertaan kali ini adalah untuk mengubat rindua terhadap seni yang sudah sebati dengan dirinya sejak di bangku sekolah dan universiti lagi.
“Saya memang dari zaman sekolah dan universiti adalah pemantun tetapi bila mula kerja, dah tak ada ruang nak berpantun. Jadi, bila ada pertandingan macam ini sekurang-kurangnya dapat lepas rindu,” katanya.
Mengulas mengenai penganjuran edisi tahun ini, beliau memuji komitmen penganjur dan sambutan peserta meskipun kesibukan kerja sebagai petugas media sering membataskan penglibatan dalam aktiviti luar.
“Dapat kumpul lapan penyertaan pun dah cukup baik sebab kerja dalam bidang media kita tahu sibuk setiap hari. Bila ramai yang tetap beri komitmen, ini satu perkembangan yang sangat menggalakkan,” katanya.
Bertemakan "Melayu Klasik Tradisional", Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 diadakan sempena HAWANA 2025 yang akan berlangsung pada 13 hingga 15 Jun ini, dengan kemuncak sambutan pada 14 Jun yang bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pesta pantun itu dianjurkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan penyampaian hadiah kepada pemenang diadakan pada 14 Jun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial