KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Penganjuran Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 berjaya mencetuskan kesedaran untuk mengangkat kembali seni budaya Melayu khususnya dalam dunia kewartawanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata pertandingan yang julung kali diadakan itu membuktikan keupayaan pengamal media mengungkap isu semasa melalui keindahan bahasa ibunda sambil menonjolkan kreativiti masing-masing.
“Saya lihat sendiri bagaimana pantun-pantun yang dijual dan dibeli tadi bukan sahaja mencuit hati malah mengetengahkan isu-isu semasa dengan gaya tersendiri.
“Ia bukan sesuatu yang mudah kerana menyusun dan mengatur pantun memerlukan kemahiran serta penghayatan terhadap bahasa,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 di Wisma Bernama di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Azlina Aziz serta Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Abang Haliman Abang Julai.
Mengulas lanjut, Nur-ul Afida berkata penganjuran pesta itu bukan sekadar pertandingan biasa tetapi juga sebagai wadah untuk memperkasakan warisan budaya bangsa.
Beliau berkata Bernama komited menyokong usaha memperkukuh penggunaan Bahasa Melayu dalam industri kewartawanan dan melihat pendekatan berasaskan budaya seperti itu mampu merapatkan hubungan antara media, bahasa serta masyarakat.
“Saya telah berbincang dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan menyuarakan harapan agar Pesta Pantun ini dapat diteruskan pada tahun hadapan sebagai edisi kedua sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA), insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, Abang Haliman memuji penganjuran pesta pantun tersebut yang disifatkan sebagai mampu menyemai kesedaran mendalam dalam kalangan karyawan media terhadap kepentingan bahasa dan sastera.
“Pengalaman menyertai pesta pantun ini sudah tentu dapat membantu aspek lain para karyawan media dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kewartawanan kepada masyarakat.
“Sokongan dan kerjasama pelbagai pihak contohnya Bernama ini amat diperlukan oleh DBP dalam memartabatkan Bahasa Melayu di dalam negara,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025.
Bertemakan 'Melayu Klasik Tradisional', pesta pantun itu diadakan sempena HAWANA 2025 yang akan berlangsung dari 13 hingga 15 Jun ini, dengan kemuncak sambutan dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 14 Jun depan.
Seramai 32 peserta daripada lapan kumpulan berentap seawal 9 pagi, terdiri daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Malaysia Gazette, Sinar Harian, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kumpulan Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad serta Bernama.
Jabatan Pengisian Islam TV3 dan Astro Radio News berjaya melangkah ke pertandingan akhir bagi merebut gelaran juara namun pemenang hanya akan diumumkan pada 14 Jun ini.
Juara akan membawa pulang wang tunai RM3,000 manakala naib juara RM2,000 serta kedua-duanya turut menerima piala dan sijil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial