PUTRAJAYA, 30 Mei (Bernama) -- Malaysia secara rasmi dipilih sebagai Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2025-2029.
Menurut kenyataan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Malaysia mencipta sejarah apabila pemilihan sebagai presiden diluluskan sebulat suara oleh kesemua 193 negara anggota pada Persidangan UN-Habitat di Nairobi hari ini.
Delegasi negara diwakili Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Malaysia mengambil alih peranan itu daripada Mexico yang mewakili Amerika Latin dan Caribbean pada penggal sebelumnya.
Malaysia akan memegang jawatan presiden dan Ahli Lembaga Eksekutif bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) mewakili rantau Asia Pasifik.
Nga dalam ucapannya berkata Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai presiden bersama-sama UAE dan beliau menekankan komitmen bersama yang melambangkan perpaduan serantau dan kelestarian bandar.
“Bagi mengukuhkan multilateralisme dan Agenda UN-Habitat, Malaysia dan UAE menyeru negara anggota untuk menggandakan usaha mereka dalam melaksanakan Agenda Perbandaran Baharu,” katanya.
Beliau berkata ia adalah bukti kukuh kepada negara untuk diamanahkan jawatan presiden oleh sebuah badan PBB yang melibatkan 193 negara anggota.
"Ini adalah satu kejayaan bersejarah bagi Malaysia. Ia bukan sahaja membuktikan negara telah kembali ke persada antarabangsa di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi juga menyerlahkan pengaruh antarabangsa yang semakin meningkat. Berdasarkan perkembangan terkini ini, sokongan rakyat adalah sangat penting.
“Ini adalah kejayaan bersama untuk semua rakyat Malaysia dan kami terus menunjukkan komitmen dan pencapaian dalam pembangunan bandar yang mampan, dengan 53 peratus daripada 156 kerajaan tempatan kami kini mendahului dalam 'Voluntary Local Review' (VLR), meletakkan kami pada landasan untuk liputan penuh di seluruh negara menjelang 2030,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Program Perumahan Sheikh Zayed di UAE Mohammed Ibrahim Al Mansoori menzahirkan penghormatan atas kepimpinan bersama Malaysia.
"Kerjasama ini berasaskan penyelarasan strategik dan matlamat bersama demi masa depan yang lebih baik,” katanya.
Berpangkalan di Nairobi, Kenya, Persidangan UN-Habitat diwujudkan pada 1975 dan diangkat menjadi program penuh pada Perhimpunan Agung PBB 2001.
Ia merupakan badan pembuat keputusan global tertinggi mengenai pembandaran lestari dan penempatan manusia yang bersidang setiap empat tahun serta memainkan peranan penting dalam membentuk dasar global untuk bandar dan komuniti.
Sebagai presiden, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Lembaga Eksekutif UN-Habitat serta rakan kongsi global untuk mengukuhkan kerjasama pelbagai hala, mempromosikan bandar inklusif, berdaya tahan iklim dan mampan di seluruh dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial