Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Kongsi Hala Tuju 5G, Fokus Isu Keselamatan Dalam Talian Di Tokyo

01/06/2025 12:25 PM

 

Daripada Anas Abu Hassan

TOKYO, 1 Jun (Bernama) -- Malaysia telah berkongsi pengalaman dan hala tuju dalam pelaksanakan dwirangkaian 5G dengan negara rantau Asia Pasifik menerusi penyertaan dalam Mesyuarat Menteri Asia Pacific Telecommunity (APT-MM) 2025 kali ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang julung-julung kali mengetuai delegasi negara ke APT-MM yang berlangsung dari 30 hingga 31 Mei berkata dalam masa sama, tumpuan turut diberikan terhadap usaha mendepani isu keselamatan dalam talian yang menjadi cabaran bagi kebanyakan negara serta program infrastruktur Jalinan Digital Negara (JENDELA).

"(Mesyuarat) ini sudah pasti boleh memberi peluang untuk kita bawakan dan tunjukkan kepada negara-negara lain pencapaian yang telah kita peroleh melalui program dan idea yang kita ada.

"(Antaranya) pengalaman kita dalam melaksanakan rangkaian 5G pertama sebagai rangkaian tunggal, kemudian sebagai dwirangkaian dan pengalaman kita melaksanakan projek besar seperti JENDELA dan juga projek point of presence," katanya kepada Bernama di sini.

Fahmi turut menegaskan terdapat keperluan bagi badan kawal selia dari negara anggota APT untuk memberi penekanan terhadap aspek penyeliaan dan keselamatan dalam talian termasuk isu judi dalam talian dan penipuan siber di rantau ini.

"Satu daripada idea yang saya lontarkan ialah keperluan untuk peringkat pegawai atasan dan pegawai kanan, mereka ada mesyuarat setiap tahun dan wajar dibuat sekali bengkel untuk negara rantau Asia Pasifik menyatakan masalah dihadapi dan cara isu-isu ini diselesaikan.

"(Hal ini) supaya mungkin kita ada beberapa pengalaman, pengajaran, cara penyelesaian yang telah dilaksanakan boleh diguna pakai oleh negara lain," katanya.

Sepanjang APT-MM 2025 kali ini, Fahmi mengadakan pertemuan dua hala dengan delegasi dari tuan rumah Jepun, Indonesia, Fiji, China, Iran, dan Australia, serta organisasi antarabangsa yang bertanggungjawab terhadap industri telekomunikasi, iaitu Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan GSM Association (GSMA).

Fahmi berkata terdapat keperluan untuk agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti aspek perundangan serta pelaksanaan usaha mengawal selia keselamatan dalam talian seperti yang dilakukan oleh Australia.

"Kita telah sampaikan kepada Australia dan kita harap ada pasukan dari Malaysia yang akan dapat ke sana ataupun mengadakan perbincangan secara dalam talian supaya kita dapat meneliti dan menilai sama ada langkah-langkah yang mereka ambil ini (ada yang) boleh kita pelajari untuk dipertimbangkan, dilihat kesesuaian untuk dilaksanakan di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Malaysia turut menyuarakan hasrat untuk meneruskan keanggotaan sebagai Ahli Majlis dalam ITU bagi sesi 2027-2030.

"Kita dah sampaikan juga kepada menteri-menteri, rakan sejawat yang telah saya adakan mesyuarat dua hala dan harapan kita negara sahabat ini akan dapat menyokong keberadaan Malaysia dalam Majlis ITU," katanya.

Edisi APT-MM 2025 turut menyaksikan pelancaran Kenyataan Tokyo 2025 yang memberi penekanan terhadap enam keutamaan, iaitu keterhubungan digital; inovasi digital dan keusahawanan; kepercayaan dan keselamatan; keterangkuman digital dan pembangunan kapasiti; kelestarian alam; serta kerjasama serantau dan antarabangsa.

Bertemakan Harnessing Emerging Technologies for Sustainable, Inclusive and Equitable Digital Transformation in the Asia-Pacific, APT-MM 2025 menghimpunkan 31 negara anggota serta 19 ahli gabungan terdiri daripada pihak kerajaan, pihak pengawal selia dan agensi swasta dari rantau Asia-Pasifik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan