AM

Projek Sakit Dalam RMK11, RMK12 Di Sarawak Wajib Siap Dalam RMK13 – TPM Ahmad Zahid

30/05/2025 03:33 PM

KUCHING, 30 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan agar lima projek bermasalah di Sarawak yang melibatkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK12 disiapkan sepenuhnya dalam tempoh RMK13 nanti.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata antara punca kelewatan projek berkenaan termasuk isu tapak seperti permit, pengambilan tanah dan pertindihan jajaran paip, selain mengambil kira faktor cuaca.

“Oleh kerana RMK13 akan dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat yang akan datang, maka sebarang projek bermasalah diputuskan untuk disegerakan dan tempohnya mesti diselesaikan dalam RMK13 iaitu dari Rolling Plan 1 hingga 5.

“Contohnya, bukan projek bermasalah, tetapi projek yang ditangguhkan seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Lawas yang telah mendapat kelulusan tetapi belum dilaksanakan. Arahan saya agar dalam Rolling Plan 1 RMK13, projek MRSM ini mesti dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Pelaksanaan Projek Pembangunan KKDW Sarawak di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata susulan kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri pada Januari lepas yang menyebabkan 14 rumah mengalami kerosakan sepenuhnya, usaha  membina semua rumah penduduk yang terjejas akan dilaksanakan selepas sambutan Hari Gawai ini.

“Tanah yang sesuai telah diperoleh seperti yang ditentukan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) dengan pelaksanaannya oleh agensi kerajaan negeri,” katanya, sambil menambah kejadian itu telah menjejaskan sejumlah 277 penduduk di perkampungan terbabit. 

Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya bercadang untuk menubuhkan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Sarawak di Kuching atau Samarahan bagi memperluaskan peluang golongan belia di negeri ini melanjutkan pelajaran di peringkat pra-diploma, diploma dan asasi.

Beliau menyasarkan sejumlah 1,000 pelajar yang akan memasuki KPTM itu nanti menjelang 2028.

“Kita mulakan dengan sasaran kira-kira 200 pelajar dan pada tahun seterusnya kita jangkakan pengambilannya seramai 500 pelajar,” katanya dan antara bidang yang ditawarkan termasuk perniagaan, teknologi maklumat dan sains kemanusian.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang serta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi.  

Terdahulu, mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu bertujuan menyelaras pelaksanaan projek pembangunan luar bandar KKDW di Sarawak bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan asas dan infrastruktur. 

Sementara itu, KKDW dalam kenyataan memaklumkan Sarawak telah menerima peruntukan berjumlah RM3.2 bilion di bawah RMK12 melibatkan pelaksanaan sebanyak 403 program serta projek dengan kos projek keseluruhan berjumlah RM21.73 bilion.

Menurut kenyatan itu, daripada jumlah tersebut terdapat 178 projek atau 44.71 peratus dikenal pasti masih berstatus ‘Pra-Pelaksanaaan’, manakala 155 projek telah diluluskan bermula dari 2021 sehingga 2025.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan