KUCHING, 31 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sarawak komited untuk memperkasakan kedudukan ekonomi serta sosial masyarakat Dayak di negeri itu menerusi pelaksanaan pendidikan tinggi percuma dan pembangunan infrastruktur luar bandar, selari dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pendidikan merupakan kaedah paling ampuh untuk setiap kaum di Bumi Kenyalang, sama-sama mengecapi pembangunan negeri.
“Inisiatif Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), dianggarkan akan melibatkan kos sebanyak RM300 juta pada tahun pertama, iaitu tahun hadapan, untuk membiayai 10,000 pelajar yang menuntut di empat buah universiti milik Kerajaan Sarawak.
“Saya percaya dengan langkah ini ramai anak Sarawak dalam kalangan keluarga kurang kemampuan dan mereka yang daripada kawasan luar bandar akan berpeluang untuk menuntut ilmu dalam jurusan terpilih pada peringkat ijazah,” katanya dalam perutusan sempena perayaan Gawai Dayak 2025 yang disambut esok.
Abang Johari berkata inisiatif berkenaan meliputi yuran pengajian percuma, selain elaun sebanyak RM15,000 setahun bagi pelajar daripada keluarga yang berpendapatan RM1,500 ke bawah sebulan.
Abang Johari berkata berikutan pendapatan negeri meningkat kepada RM15 bilion bagi 2024 berbanding RM6 bilion lapan tahun lepas, kerajaan Sarawak dapat mempergiatkan pelaksanaan program pembangunan infrastruktur seperti kemudahan jalan raya, jambatan dan jalan raya pesisir pantai.
Beliau berkata pembinaan jambatan di seluruh Sarawak membuktikan komitmen kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS), untuk menaik taraf status pengangkutan jalan raya, sekali gus memudahkan pergerakan rakyat, hasil pertanian dan produk industri tempatan.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan meneliti cadangan membangunakan 5,000 kilometer jalan balak yang tidak digunakan lagi, seperti di Bahagian Kapit untuk menjadi jalan raya awam.
“Jika rancangan ini dapat dilaksanakan ia akan mempertingkatkan keterhubungan di kawasan luar bandar dengan sistem jalan raya yang lebih teratur,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial