AM

Penceramah Ditahan Beri Ceramah Tanpa Tauliah -JAINJ

29/05/2025 07:20 PM

JOHOR BAHRU, 29 Mei (Bernama) -- Seorang penceramah agama ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki memberi ceramah tanpa tauliah di sebuah rumah dekat Pasir Gudang malam tadi.

Pengarah JAINJ Nasri Md Ali berkata penahanan ke atas lelaki tempatan berusia 50 tahun itu dilakukan kira-kira 8.30 malam oleh Bahagian Penguatkuasaan JAINJ dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.

Beliau berkata penahanan dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana mengajar agama tanpa tauliah.

“Penceramah ini memberi ceramah dengan jemaah serta siaran langsung di media sosial dan rumah itu adalah kediaman individu lain yang dijadikan tempat ceramah setiap hari selepas Maghrib dan Subuh.

“Ketika tangkapan dibuat, ada beberapa orang yang sedang mendengar ceramahnya di rumah itu, siaran langsung di Facebook (FB) dan YouTube, tetapi video sudah dipadam.

“Ketika ini penceramah itu masih dalam siasatan kita,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata perbuatan mengajar tanpa tauliah membabitkan penceramah itu adalah antara aduan yang dibawa dalam makluman mesyuarat ahli majlis bulan Mei ini dan terdapat arahan serta keputusan Jawatankuasa Tauliah bagi JAINJ mengambil tindakan.

“Mengikut rekod, penceramah ini pernah ditahan atas kesalahan sama pada 2016. Tahun 2020, jabatan ada buat serbuan juga, tetapi dia berjaya lepaskan diri ketika majlis ceramah. Ini kali ketiga tindakan dibuat ke atasnya atas kesalahan tidak ada kebenaran tauliah mengajar,” jelasnya.

“Kita berharap sesiapa yang hendak menyampaikan dakwah di Johor mendapatkan tauliah daripada JAINJ.

“Sama seperti negeri lain yang mewajibkan penganjur atau pendakwah mendapatkan kebenaran tauliah terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu, pendakwah selebriti Ustaz Abdullah Khairi berkongsi satu rakaman video berdurasi dua minit 57 saat memaparkan penahanan seorang penceramah tempatan di Pasir Gudang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan