AM

Instrumen Kewangan Inovatif Pacu Pengurusan Biodiversiti Negara - TPM Fadillah

27/05/2025 03:30 PM

PUTRAJAYA, 27 Mei (Bernama) -- Instrumen kewangan inovatif perlu diteroka dan dimanfaatkan secara lebih aktif bagi memperkasa pengurusan biodiversiti negara demi menjamin masa depan yang seimbang, makmur dan lestari buat generasi akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Biodiversiti Negara (MBN) ke-3 hari ini, menyeru semua pihak untuk terus berganding bahu, memperkukuh dasar dan menjayakan inisiatif berimpak tinggi dalam pengurusan biodiversiti negara.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata MBN menggariskan komitmen bersama dalam memperkukuh tadbir urus biodiversiti negara, seiring dengan keperluan untuk memastikan pembangunan yang lestari dan berpaksikan nilai-nilai masa depan.

“Saya percaya bahawa dalam mengejar kemajuan sosioekonomi dan meneroka potensi kekayaan baharu termasuk sumber mineral, kita perlu memastikan bahawa kelestarian alam sekitar tidak dikompromi.

“Konservasi biodiversiti memerlukan dana yang besar, justeru instrumen kewangan inovatif perlu diteroka dan dimanfaatkan dengan lebih aktif,” katanya.

Beliau berkata pemuliharaan biodiversiti bukan sekadar isu alam sekitar, sebaliknya merupakan amanah moral dan tanggungjawab bersama sebagai khalifah di muka bumi ini.

“Insiden menyayat hati yang melibatkan kematian seekor anak gajah di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli baru-baru ini, memberi peringatan jelas bahawa pembangunan fizikal perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah dan mengambil kira kepentingan habitat hidupan liar yang semakin terancam,” katanya.

Fadillah turut menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian signifikan hasil usaha bersama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan masyarakat termasuk pewartaan lebih 350,000 hektar kawasan sebagai kawasan perlindungan baharu melalui pelaksanaan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT).

Antara kejayaan utama lain ialah pelantikan lebih 1,900 renjer komuniti di bawah Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan (BP3) bagi memperkukuh penguatkuasaan; serta penubuhan Malaysia Biodiversity Centre (MBC) yang telah mendapat pengiktirafan sebagai projek berkepentingan nasional dengan insentif cukai khas.

“Kejayaan penanaman pokok ke-100 juta melalui Kempen Penghijauan Malaysia dan pengiktirafan UNESCO Triple Crown kepada Sabah juga mencerminkan hasil kerjasama strategik yang menyeluruh,” katanya.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib serta 150 wakil Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan