AM

ASEAN-GCC Perkukuh Hubungan Strategik, Sasar Perdagangan US$180 Bilion Menjelang 2032

27/05/2025 03:17 PM

Oleh Noor Azuki Fahme Ismail

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Pemimpin dari negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bersetuju untuk memperkukuh perkongsian strategik yang luas dengan ASEAN dalam mendepani cabaran global dan meraih peluang ekonomi bersama.

Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah bertitah GCC kini rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN, dengan jumlah perdagangan mencecah US$130.7 bilion pada 2023.

“Kami ingin meningkatkan angka ini kepada US$180 bilion menjelang 2032 kerana terdapat potensi besar yang masih belum diterokai dalam perdagangan dan pelaburan dua hala,” titah baginda.

Baginda yang juga Presiden bagi sesi semasa Majlis Tertinggi GCC bertitah demikian pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Baginda juga melihat peningkatan pelaburan asing yang memberangsangkan ke pasaran Asia menunjukkan keyakinan dan integrasi ekonomi yang mampan.

“Di sini, kami ingin menekankan pentingnya meneruskan kerjasama dalam ekonomi, perdagangan, pelaburan dan kesenian serta menantikan hasil positif daripada rundingan perdagangan bebas antara kedua-dua pihak bagi membuka peluang pelaburan dan menyokong pembangunan serantau,” titah baginda.

Baginda bertitah sidang kemuncak kali ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama kedua-dua rantau. 

“Sidang kali ini memberi inspirasi kepada kita untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dan mencerminkan hubungan sejarah yang mendalam antara dua pihak.

“Ia juga mencerminkan komitmen bersama dalam membina perkongsian strategik berdasarkan kepentingan bersama, prinsip undang-undang antarabangsa serta pembangunan mampan untuk rakyat kita,” titah baginda.

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC pertama, yang berlangsung pada 20 Okt 2023 di Riyadh, merupakan permulaan penting yang melakar kerangka kerjasama menyeluruh bagi tempoh 2024–2028, bertujuan membentuk asas kukuh bagi perkongsian ini agar ia dapat mendorong pembangunan pesat.

Dalam isu Palestin, baginda menyeru GCC dan ASEAN bekerjasama secara berterusan dalam menyelesaikan krisis kemanusiaan di Gaza dan konflik Palestin-Israel yang kian meruncing.

“GCC menegaskan sokongan terhadap penubuhan negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

“Kami menyeru komuniti antarabangsa agar bertindak segera dan tegas untuk menghentikan keganasan dan memulakan proses damai yang berlandaskan undang-undang antarabangsa dan Inisiatif Damai Arab,” titah baginda.

Baginda bertitah GCC turut mencadangkan agar tahun 2026 diisytiharkan sebagai Tahun Perpaduan Budaya GCC-ASEAN, dengan pelbagai program memperkukuh hubungan dua hala, selain inisiatif bersama untuk memperkasakan belia dan wanita melalui latihan, pembangunan kemahiran dan projek keusahawanan.

GCC yang ditubuhkan pada 1981 dan beribu pejabat di Riyadh, dianggotai enam negara iaitu Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan