SUKAN > BERITA

Piala Cabaran Maybank: 'Seperti Rakan Sepasukan 20 Tahun' - Sang Sik

29/05/2025 01:23 AM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Ketua Jurulatih ASEAN All-Stars Kim Sang Sik menyifatkan pemain pasukan itu beraksi seolah-olah mereka telah lama menjadi rakan sepasukan.

Pasukan bimbingan Kim itu melakar kejutan dengan kemenangan 1-0 kepada pasukan kelab Inggeris Manchester United dalam Piala Cabaran Maybank di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Sang Sik berkata apa yang menjadikan ia lebih hebat ialah para pemain hanya bertemu 48 jam lebih awal sebelum pertembungan dengan anak buah Ruben Amorim itu.

“Perlawanan yang hebat dan persembahan menakjubkan daripada pasukan. Kami hanya berlatih dua hari tetapi mereka bermain seolah-olah sudah bersama 20 tahun.

“Pemain bermain dengan kerjasama yang sangat baik dan kami amat gembira dengan kejayaan ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini malam ini.

ASEAN All-Stars memenangi perlawanan itu hasil gol minit ke-71 jaringan pemain sayap Maung Maung Lwin.

Sang Sik turut memuji prestasi dua pemain Malaysia iaitu kapten pasukan Sergio Aguero dan Declan Lambert.

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Vietnam itu berkata beliau akan melakukan analisis yerhadap kedua-dua pemain berkenaan menjelang pusingan Kelayakan PIala Asia 2027 iaitu pasukannya akan menentang Malaysia pada 10 Jun di Bukit Jalil.

Dalam pada itu, Maung Maung menyifatkan jaringannya ke atas juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 13 kali itu seperti mimpi menjadi kenyataan. 

“Detik ini jarang berlaku pada saya, dan saya ingin mendedikasikan jaringan saya kepada rantau Asia Tenggara,” katanya.

Selepas aksi di Malaysia, Manchester United akan meneruskan jelajah pascamusim ke Hong Kong untuk bertemu pasukan kebangsaan negara itu pada 30 Mei ini di Stadium Hong Kong.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan