Daripada memadamkan kebakaran, menyelamatkan mangsa kemalangan, mencari mangsa lemas hinggalah menangkap ular dan menurunkan kucing dari pokok, saban hari tugas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meletakkan nyawa mereka sebagai taruhan.
Namun bahaya yang didepani bukan sekadar jelas di mata. Adakala ancaman itu tersembunyi di sebalik helaan nafas terutama ketika memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah seperti yang kerap dihadapi oleh JBPM Kelantan.
Berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung, pembuangan sampah di negeri Cik Siti Wan Kembang ini dilakukan sendiri oleh penduduk di tapak yang dikhaskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jajahan berkenaan. Bagaimanapun pendekatan itu menyebabkan pelbagai jenis sisa, termasuk yang tidak sepatutnya, dilupuskan bersama-sama dengan sisa domestik lain.
Justeru, tidak menghairankan jika kerap berlaku kebakaran di tapak pelupusan sisa yang adakalanya turut membebaskan gas beracun, sekali gus mendatangkan risiko tinggi kepada pasukan JBPM.
“Di Kelantan ini, penduduk bawa sendiri sampah ke lokasi berpusat, satu amalan berbeza berbanding negeri lain yang menggunakan khidmat kutipan berjadual dari rumah ke rumah. Jadi, bahan buangan tidak ditapis (diasingkan) dan dibiarkan bertimbun.
“Jadi, apabila berlaku kebakaran, sukar untuk dikesan. Kita bercakap tentang smouldering fire iaitu api sekam yang membara secara perlahan di bawah timbunan dan boleh merebak tanpa amaran… itulah yang paling berbahaya,” kata Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan kepada Bernama baru-baru ini.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu JBPM Kelantan mengendalikan 1,827 kebakaran terbuka dengan 207 melibatkan pusat pengumpulan sampah.
PASUKAN PERTAMA
Mengulas lanjut, Farhan Sufyan berkata apabila berlaku kebakaran di tempat pelupusan sampah, JBPM akan menjadi pasukan pertama yang mengendalikan kebakaran itu.
“Bomba akan masuk apabila api menyala dan nyawa diancam, kerana menurut Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20, JBPM ialah ‘penyambut utama’ bagi sebarang insiden bahan kimia, biologi, radioaktif, nuklear dan bahan letupan (CBRNE),” jelasnya.
pic-2
Menurut beliau, dengan kata lain, tugas pasukan itu ialah menghapuskan terlebih dahulu risiko ancaman bahaya yang wujud, iaitu api, bagi membolehkan pihak bertanggungjawab seterusnya masuk dan menguruskan bencana yang berlaku.
(Arahan MKN No. 20 merujuk arahan tentang dasar dan pengurusan bencana dengan MKN sebagai agensi peneraju utama pengurusan bencana di negara ini.)
Dalam konteks kebakaran di tempat pelupusan sampah, beliau berkata kejadian itu tidak boleh dilihat sebagai isu kebakaran semata-mata sebaliknya merupakan bencana sistemik yang melibatkan agensi-agensi lain kerana kewujudan pelbagai kategori sisa.
“Ada empat kategori sisa utama, iaitu sisa kumbahan, sisa pepejal (meliputi bahan buangan domestik dan terjadual), sisa radioaktif dan sisa bahan kimia dengan masing-masing dikendalikan oleh agensi berbeza, iaitu Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom, PBT dan SWCorp (Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam),” jelasnya.
Jelas Farhan Sufyan lagi, memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah bukan tugas mudah dan memerlukan bantuan jentera berat.
“Kami gunakan kaedah bongkar-padam dengan jentera berat seperti jengkaut digunakan untuk membongkar timbunan sampah. Operasi sebegini juga memerlukan air yang banyak, jadi adakala kami terpaksa mengepam air dari sungai yang jauhnya berkilometer dari tapak.
“Namun, JBPM tidak ada jentera berat, jadi kita kena minta bantuan agensi lain. Kalau tak ada, kita terpaksa tunggu walaupun api tidak tunggu kita,” katanya lagi.
48 JAM YANG KRITIKAL
Dalam protokol operasi JBPM, pasukan itu akan mengambil alih sepenuhnya operasi pemadaman bagi tempoh 48 jam pertama, dan selepas itu kawalan akan dipulangkan kepada PBT atau ejen yang dilantik.
Jika api masih marak selepas tempoh itu, bantuan tambahan daripada JBPM akan hanya diberikan secara berbayar melainkan jika insiden mengancam nyawa orang awam, kata Farhan Sufyan.
pic-3
“Banyak yang tidak tahu tentang ini. Bomba bukan jentera percuma yang boleh diarah sepanjang masa. Ada had, ada struktur perundangan.
“Walaupun begitu, apabila nyawa jadi taruhan sempadan kuasa jadi kabur. Pasukan akan bertindak tanpa berkira tetapi isu pokoknya tetap wujud... siapa urus sisa, siapa cegah kebakaran, siapa kawal pencemaran? " katanya.
Namun kata beliau, ancaman bahaya kepada anggota bomba dalam mengendalikan kebakaran di tapak pelupusan sisa bukan hanya api, tetapi asap beracun.
“Pembakaran bahan seperti tayar dan plastik menghasilkan toksin yang boleh menyebabkan pening, loya, muntah, malah kesan kesihatan jangka panjang.
pic-5
“Kalau terlalu toksik, kita perlu bawa masuk unit khas HAZMAT, tapi bukan semua kebakaran memerlukan mereka,” katanya.
Menurutnya, di Kelantan, pasukan HAZMAT tersedia dan akan digerakkan sekiranya tahap bahaya dinilai melepasi paras biasa. Penilaian itu dibuat di lokasi berdasarkan pemantauan awal.
JURANG KESEDARAN
Di sebalik cabaran teknikal dan perundangan, Farhan Sufyan berkata terdapat satu jurang lain yang terus membelenggu pasukan penyelamat, iaitu kesedaran awam.
“Masyarakat lebih utamakan keselamatan harta benda berbanding keselamatan diri. Mereka pasang jeriji besi (di premis) tanpa fikirkan laluan keluar ketika kecemasan,” katanya.
pic-4
Menurutnya, JBPM sering menekankan konsep “3L”, iaitu jangan leka, jangan lupa dan jangan lalai sebagai asas kesedaran keselamatan kebakaran.
“Namun, mesej itu belum benar-benar meresap. Pembakaran terbuka terus berlaku, pembuangan sisa tanpa pengawasan menjadi rutin, dan pasukan bomba terus berdepan kebakaran yang tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.
Farhan Sufyan mengakhiri temu bual dengan menegaskan bahawa pengurusan sisa bukan isu bomba semata-mata tetapi tanggungjawab bersama.
“Selagi setiap agensi bekerja in silo, kita hanya bertindak apabila api sudah menyala, sedangkan api itu boleh dicegah dari awal dengan dasar, dengan pendidikan dan dengan tindakan,” katanya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial