SHAH ALAM, 28 Mei (Bernama) -- Sebanyak 572 kawasan dikenal pasti sebagai titik panas kebakaran terbuka di seluruh negara berdasarkan kekerapan kejadian sepanjang tiga tahun lalu, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad.
Beliau berkata kawasan titik panas berkenaan dikenal pasti berdasarkan kekerapan berlakunya kebakaran di kawasan tersebut dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini
Katanya Selangor mencatat jumlah tertinggi kebakaran terbuka, diikuti Johor, Perak, Kedah dan Sabah.
“Semua balai bomba dan penyelamat di kawasan berkenaan telah diarahkan untuk sentiasa bersiap siaga, khususnya dari segi logistik bagi memastikan tindakan segera dapat diambil untuk mengawal kebakaran pada peringkat awal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata pihaknya turut menjalin kerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memanfaatkan aset masing-masing untuk operasi pemadaman secara lebih berkesan.
Beliau berkata setakat 15 Mei lalu, sebanyak 3,261 kes kebakaran terbuka direkodkan di seluruh negara, membabitkan kebakaran lalang (2,917 kes), hutan (229 kes), serta kebun dan ladang (115 kes).
“Jumlah ini menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu, apabila sebanyak 9,535 kes dicatatkan setakat April 2024.
“Cuaca yang panas namun diselangi hujan membantu mengurangkan risiko kebakaran terbuka ketika ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nor Hisham berkata sebanyak 130 unit kuarters bomba akan dibina di Kota Kemuning, dengan tender dijangka dibuka oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Mac 2026.
“Pembinaan ini dijangka dapat menyelesaikan masalah penempatan anggota dan pegawai bomba, khususnya di daerah Sepang dan Petaling, termasuk Shah Alam dan Petaling Jaya.
“Ketika ini, terdapat 430 unit kuarters sedia ada di Selangor dengan 66 permohonan dalam senarai menunggu sejak 2023,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial