AM

MBI Terima Anugerah Kehormat Sempena MLAA

25/05/2025 12:46 PM

IPOH, 25 Mei (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui Jabatan Taman dan Landskap menerima Anugerah Kehormat bagi kategori Inisiatif Hijau-Sektor Kerajaan sempena Anugerah Seni Bina Landskap Malaysia (MLAA) ke-15, malam tadi.

MBI dalam kenyataan hari ini memaklumkan pencapaian itu menerusi projek bertajuk “Buluh: Penyelesaian Lestari untuk Landskap Hijau.”

Anugerah itu disampaikan oleh bekas Presiden Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM) Datuk Ismail Ngah sebagai pengiktirafan terhadap peranan aktif MBI dalam mempelopori pendekatan landskap berasaskan alam semula jadi secara menyeluruh dan progresif, selaras aspirasi landskap negara.

"Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada usaha MBI dalam merealisasikan hasrat menjadikan Ipoh sebagai Bandar Raya Bestari Sejahtera 2030, berasaskan inovasi, kelestarian dan kesejahteraan untuk semua," menurut kenyataan itu.

MBI memaklumkan pengiktirafan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MBI dalam memperkukuh pelaksanaan pendekatan Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi (NBS)  dalam pembangunan landskap bandar yang mampan dan menyeluruh.

MBI memaklumkan melalui inisiatif NBS itu, buluh diketengahkan sebagai bahan alternatif yang lestari, diguna pakai bukan sahaja dalam penghasilan perabot landskap malah turut diintegrasikan bersama penanaman pokok teduhan bagi tujuan penyerapan karbon.

"Langkah itu juga mampu meningkatkan biodiversiti dalam bandar serta mengurangkan kesan fenomena pulau haba di kawasan bandar," menurut kenyataan itu.

MBI memaklumkan dalam era seni bina landskap moden yang semakin menekankan prinsip kelestarian, pendekatan reka bentuk landskap kini bukan sekadar bersifat estetik tetapi turut merangkumi fungsi ekologi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar. 

Menurut MBI perubahan itu disokong oleh kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan masyarakat terhadap isu perubahan iklim, penurunan biodiversiti dan keperluan kepada pembangunan yang seimbang dengan alam semula jadi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan