AM

Perdana Menteri Laos Diberikan Sambutan Rasmi Di Perdana Putra

25/05/2025 10:52 AM

PUTRAJAYA, 25 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone yang sedang dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia, telah diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.

Ketibaan beliau pada 10 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, diikuti dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Siphandone kemudiannya memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat), diketuai Mejar Muhammad Fikri Senan.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.

Sepanjang lawatan, Siphandone ditemani isterinya Vandara Siphandone, serta menteri-menteri dan pegawai kanan kerajaan Laos.

Lawatan rasmi itu yang diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, menekankan hubungan erat dan berterusan antara Malaysia dan Republik Demokratik Rakyat Lao.

Selepas upacara sambutan itu, Siphandone menandatangani buku tetamu dan meneruskan program dengan mesyuarat dua hala bersama Anwar.

Mesyuarat itu akan menumpukan kepada perkembangan hubungan bilateral yang sedang berlangsung, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan, pelancongan, pembangunan kapasiti, pertanian dan industri halal.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global, dengan penekanan kepada kepentingan strategik ASEAN sebagai platform yang padu untuk menangani isu-isu bersama di tengah-tengah cabaran geopolitik yang semakin meningkat.

Siphandone juga dijadualkan melawat Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kuala Lumpur hari ini dan menghadiri Majlis Santapan Diraja bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 27 Mei.

Pada tahun 2024, jumlah dagangan bilateral antara Malaysia dan Laos mencecah RM99.7 juta (USD21.9 juta), dengan nilai eksport Malaysia sebanyak RM67.8 juta (USD14.9 juta) dan import berjumlah RM31.9 juta (USD7 juta).

Malaysia merupakan pelabur asing ke-5 terbesar di Laos, dengan jumlah pelaburan bernilai USD942 juta, merangkumi 46 projek berdaftar, yang memfokuskan kepada sektor seperti tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan dan logistik, telekomunikasi, pembinaan, perbankan dan perkhidmatan hotel.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan